NILAI, 6 September 2019 – Bertepatan dengan konsep pendidikan iaitu gabungan elemen Sains dan Islam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin bin Harun berharap agar pelajar baharu bersedia meningkatkan softskill meliputi aspek mental dan fizikal untuk menjadi pelajar yang proaktif dan inovatif serta memanfaatkan ilmu dari tenaga pengajar serta kemudahan yang tersedia.

Beliau menyampaikan amanat tersebut dihadapan seramai 2471 pelajar baharu di Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar yang berlangsung bertempat di Dewan Tuanku Canselor bersempena Minggu Taaruf Pelajar Sarjana Muda Sesi Akademik 2019/2020 pada 5 September.

Beliau berkata, Malaysia yang kini telah bergerak ke hadapan seiring dengan revolusi industri (IR 4.0) akan memberi kesan berlakunya kekurangan penggunaan tenaga manusia dalam satu-satu bidang pekerjaan.

“Saya menyeru agar para pelajar membuka minda dengan mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan mengasah bakat sepaya mempunyai nilai tambah dan kepakaran tersendiri supaya mampu bersaing dalam era IR4.0 untuk tidak ketinggalan dalam arus pemodenan kini,” ucapnya.

Tambahnya, selain menyediakan akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti, Universiti Awam perlu kekal sebagai hab inovasi yang berupaya menyumbang kepada penjanaan kemewahan negara dan kesejahteraan masyarakat.

“Oleh itu, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri Sembilan agar pelajar semua dapat mendalami ilmu yang di pelajari dengan sebaiknya untuk membawa nama Malaysia dan Islam ke peringkat yang lebih tinggi agar lebih dikenali. Saranan saya agar pelajar sentiasa mempersiapkan diri menerima tugas dan amanah bagi memelihara dan membangunkan negara yang merupakan hadiah Allah yang terbaik untuk kita semua”.

Beliau turut berucap, dalam melahirkan graduan yang berkualiti USIM hendaklah sentiasa komited dalam menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kebolehan sekaligus melahirkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang berkaliber.

“Seorang bakal graduan yang berkualiti adalah pelajar yang tidak hanya hadir di dalam dewan kuliah sebagai tuntutan markah sahaja, sebaliknya bergiat aktif di luar waktu kuliah dan terlibat aktif dalam pelbagai bidang sebagai nilai tambah untuk membentuk ciri-ciri kepimpinan terunggul sebelum menceburi alam kerjaya nanti,” ucapnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan pelajar supaya menjauhi gejala tidak sihat serta aktiviti keganasan yang boleh merosakkan akidah. Beliau turut menyeru supaya sentiasa bersyukur dalam menikmati keamanan bersama masyarakat berbilang kaum serta saling menghargai untuk meningkatkan kecintaan kepada Allah.

Pada akhir amanatnya, beliau mengucapkan penghargaan atas penglibatan USIM dalam melaksanakan program-program sepanjang 2018 dan 2019 di sekitar Negeri Smebilan yang meningkatkan jaringan kerjasama dan hubungan baik di antara USIM dengan masyarakat dan mengahrapkan ianya ditambah baik mengikut keperluan. Justeru, tahun ini Kerajaan Negeri Sembilan menyumbang sebanyak RM350ribu kepada USIM untuk menjayakan program-program tersebut.

Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar ini turut dihadiri oleh Pengerusi LPU, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani; Pengurusan Tertinggi USIM, Dekan-dekan, Ketua Jabatan dan pensyarah.

Disediakan oleh :
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan