KUALA LUMPUR, 1 November 2022 – UNESCO Knowledge for Change (K4C) Learning Residency 2022 merupakan program latihan antarabangsa bagi melahirkan mentor-mentor penyelidikan berasaskan komuniti di kalangan semua penggerak masyarakat yang terdiri daripada ahli akademik dan organisasi sosial dari seluruh negara. Diterajui oleh Pusat Penyelidikan Mizan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Mizan K4C Hub dan Pusat Belia Antarabangsa (IYC), program ini dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.

Pada tahun 2022 ia dilaksanakan di Malaysia, Kursus residensi pembelajaran UNESCO K4C (UNESCO K4C Learning Residency) kali ini menghimpunkan mentor dari kohort ke lima hingga lapan bermula dari 30 Oktober hingga 6 November 2022.

Menurut Ketua Projek Mizan FKP USIM Prof Madya Dr. Mahazan Abdul Mutalib, kursus ini yang dikelolakan oleh School of Continuing Studies, University of Victoria (UVic) Canada selama 21 minggu menerapkan tiga komponen utama pembelajaran iaitu aktiviti pembelajaran atas talian dari UVic, pembelajaran menerusi residensi bersemuka selama dua minggu di Kuala Lumpur, dan kerja lapangan yang akan dijalankan bersama komuniti tempatan di lokasi masing-masing.

“Seramai 41 mentor dari lapan negara iatu Burkina Faso, Afrika Selatan, Mexico, Ireland, Canada, India, Indonesia, dan Malaysia mengikuti kursus residensi K4C di Kuala Lumpur pada tahun ini dengan objektif utama adalah untuk melatih kemahiran penyelidikan berasaskan penyertaan komuniti (CBPR) menerusi kerjasama pelbagai pihak. Program ini mengiktiraf proses perkembangan ilmu tidak hanya berlaku di universiti tetapi boleh dilaksanakan secara aktif dilapangan.

Sementara itu, pada majlis yang sama turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara USIM bersama UNESCO Chair in Community Based Research and Social Responsibility in Higher Education, Pusat Belia Antarabangsa (IYC), dan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi tujuan menjalankan kerjasama berterusan untuk terlibat dalam jaringan UNESCO K4C dan penganjuran latihan K4C diperingkat kebangsaan serta serantau.

USIM diwakili oleh Naib Canselor Prof. Ts. Dr. Sharifuddin Md Shaarani, manakala UNESCO diwakili oleh UNESCO Chair in Community Based Research and Social Responsibility in Higher Education Prof. Emeritus Dr. Budd Hall dan Dr. Rajesh Tandon, IYC diwakili oleh Pengarah Dr. Hj. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Majlis Belia Malaysia diwakili oleh Presiden Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Konsortium UNESCO K4C kini mempunyai lebih dari 22 hub di 13 buah negara di seluruh dunia.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan