NILAI, 18 APRIL 2016 – Pendebat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul Johan Debat Bahasa Arab Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Asean 2016 menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pertandingan akhir bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3.

USIM bertindak sebagai Pembangkang dengan dibarisi Muhammad Syafiq Suhaimi, 22; Azka Annisa Yusri Yurnalis, 23; Anis Amirah Zakaria, 23; dan Adam Fikry Bakru Rozi, 21 manakala UIAM selaku Kerajaan dianggotai Muhammad Nurfirman Mohamed, 21; Nurul Rafah Syazwani Rahmat, 22; Nur Faiezah Mohamed, 22 dan Abdullah Aimanrusydi Abdullah, 24 membahaskan tajuk “Menyediakan Kerusi Tetap kepada Negara-negara Asean di Majlis Keselamatan PBB lebih baik”.

Selaku johan pendebat, USIM membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 4000, trofi dan sijil penghargaan manakala UIAM menerima RM 3000, trofi dan sijil penghargaan daripada Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Malaysia.

USIM juara berganda apabila Saudari Azka Annisa Yusri Yurnalis, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa USIM turut dinobatkan Pendebat Terbaik Akhir dan menerima wang tunai RM 500 berserta trofi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada rakan pendebat, senior debat dan jurulatih yang memberi kepercayaan dan membimbingnya mewakili USIM sejak tahun pertama di universiti.

“Ini adalah pertandingan debat terakhir saya sertai dan amat puas hati dapat membantu USIM muncul juara pada kali ini”.

Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin berkata Ihtifal ini adalah bukti kesungguhan dan kecintaan masyarakat dalam menjunjung budaya dan mengagungkan Al-Quran dan memartabatkan bahasa Al-Quran iaitu bahasa Arab. “Kita berharap dengan program seperti ini akan lahirnya masyarakat Islam yang berpengetahuan seterusnya melahirkan cendiakawan terbilang di dunia berlandaskan ilmu Naqli dan Aqli”.

“Negara sangat mendambakan munculnya generasi belia yang mempunyai kekuatan sama seperti yang pernah dilahirkan dalam sejarah ketemadunan umat pada masa silam. Generasi belia yang memiliki kekuatan semangat dan daya juang yang tinggi, luas penguasaan ilmu serta keupayaan untuk memimpin anggota masyarakat,” ujarnya.

“Dengan memiliki elemen-elemen ini, mereka (belia) diharap dapat memainkan peranan sebagai pemangkin kepada agenda transformasi negara dan ummah bersesuaian dengan tema Ihtifal iaitu ‘Wasatiyyah Asas Transformasi Belia’, ” ucapnya lagi.

Ihtifal IPT Asean yang mula dianjurkan pada 2011 merupakan perluasan daripada Pertandingan Debat Bahasa Arab IPT Asean yang mula diadakan pada 2007 anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM.

Sementara itu dalam keputusan acara Ihtifal yang lain, Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau, Pekan Baru (Indonesia) menguasai kategori qari dan qariah bagi Tilawah Al-Quran dan Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta (Indonesia) muncul juara pertandingan Nasyid.

Majlis yang berlangsung bermula 14 April, penganjuran Ihtifal IPT Asean pada kali ini mendapat kerjasama Institut Wasatiyyah Malaysia dengan menarik penyertaan 600 peserta terdiri dari 26 buah universiti di Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam. Acara iringan yang turut diadakan sempena Ihtifal kali ini adalah Seminar Taddabur Al-Quran.

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204