NILAI, 29 Januari 2018 – Kolej PERMATA Insan terus mengukir kecemerlangan apabila seramai 45 pelajar Tahap 1 berusia 15 dan 16 tahun ditauliahkan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Pingat Gangsa dalam satu Majlis Pertauliahan yang disempurnakan oleh YB Senator Datuk Chong Sin Woon, Timbalan Menteri Pendidikan II Malaysia. Hadir sama Naib Canselor USIM Prof Dato’ Dr Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dato Dr Zulkiple Abd Ghani, Prof Dr Che Husna Azhari Pengarah Kolej PERMATA Insan USIM dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Puan Azura Haji Sarbin.

The Duke of Edigburgh International Award atau Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda ini melibatkan semua orang yang berumur 14-24 tahun dan merupakan anugerah pencapaian belia terkemuka di dunia.

Anugerah Remaja Perdana ini telah mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 2001. Anugerah ini diambil sempena Program Duke of Edinburgh’s Award yang telah diperkenalkan di United Kingdom pada tahun 1956. Program ini merupakan satu wadah bagi memberi sokongan dan semangat kepada golongan remaja didalam menanamkan nilai-nilai seperti semangat, bekerjasama dan sebagainya ke arah mencapai personaliti unggul. Anugerah ini telah dilaksanakan di 144 buah negara di seluruh dunia.

Menurut YB Senator Datuk Chong Sin Woon dalam ucapannya menyatakan bahawa Anugerah ini secara tidak langsung membantu remaja mengenali diri sendiri, kualiti peribadi serta mampu merancang dan mengatur untuk hidup dan bekerja. Tidak semua pembelajaran berlaku di dalam bilik darjah. Remaja memerlukan pengalaman di luar bilik darjah untuk menjadi warga dunia yang komited, bertanggunjawab dan memenuhi tuntutan keperluan semasa.

Prof Dato Dr Musa Ahmad dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada semua remaja yang berjaya dalam Anugerah Remaja Perdana dan diharapkan segala usaha dan pencapaian yang dicapai oleh pelajar Kolej PERMATA Insan ini menjadi inspirasi kepada remaja di luar sana dalam usaha melestarikan perkembangan ilmu seiring dengan ledakan teknologi masa kini akan menjadi semangat generasi baharu untuk lebih menyerlahkan lagi misi Kolej PERMATA Insan untuk melahirkan generasi cendekiawan Islam.

“Melalui program dan aktiviti yang dirangka di Kolej PERMATA Insan, para pelajar telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran dan aktiviti keseukarelawanan supaya mereka bersedia untuk kembali berbakti pada masyarakat apabila mereka dewasa kelak. Aktiviti beruniform seperti pengakap dan kadet polis sangat membantu meningkatkan kreativiti dan stamina pelajar dalam aktiviti fizikal. Kelab kesukarelawanan, kelab ulul albab dan sebagainya membolehkan pelajar meningkatkan keyakinan diri dalam menonjolkan bakat dan kebolehan komunikasi pelajar”, jelas beliau lagi.

Selain itu, silibus program PERMATA Insan juga dibina dengan mengambilkira perkembangan potensi dan pendidikan kendiri yang berbeza dengan silibus sekolah biasa menjadikan pelajar Kolej PERMATA Insan unik dari aspek pencapaian kokurikulumnya. Penerapan integrasi ilmu naqli dan aqli juga menjadi nilai tambah kepada perkembangan jasmani dan spiritual pelajar.

Remaja adalah aset terpenting negara dalam melatih bakal pemimpin yang bakal meneraju Malaysia satu hari nanti. Usaha kerajaan melalui badan belia seperti Persatuan Belia Dinamik Barat (PBNB) perlu diberi sokongan secara utuh bagi menjadikan belia Malaysia dari terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat seperti penagihan dadah, rempit dan sebagainya.

Majlis pertuliahan ini berlangsung pada petang 29 Januari 2018 bertempat di Kompleks PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia.

 

Disediakan oleh:
Nor Adlyizan Theis
Kolej PERMATA Insan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204