NILAI, 11 Disember 2019 – Pelajar Tahun 4, Program Fizik Gunaan dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dinobat sebagai Tokoh AKSIS 18/19 di Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor. Yusrina Yusof, 22 tahun menganggap pengiktirafan tersebut sebagai satu timbal balas paling bermakna dalam hidupnya sepanjang pengajiannya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Majlis tersebut memasuki tahun ke-11 penganjurannya telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Siddiq Hj. Fadzil, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM menghimpunkan pelajar dari semua pelbagai latar belakang kelab, persatuan dan penglibatan dalam pelbagai aktiviti kemahasiswaan.

Yusrina yang bergiat aktif dalam bidang keusahawanan terlibat dengan Koperasi Siswa USIM kini mempunyai syarikat sendiri hampir empat tahun. Beliau menjadikan program pengajiannya dalam Fizik Gunaan dengan bidang perniagaan yang diceburinya sebagai satu cabaran untuknya lebih bijak menguruskan masa di antara pelajaran dan aktiviti berpersatuan.

“Saya mahu kutip sebanyak mungkin pengalaman semasa pengajian di USIM sebagai bekalan apabila menempuh alam pekerjaan nanti. Pada saya, kemahiran dan bakat adalah penting untuk dibangunkan semasa pengajian sebagai persediaan berhadapan dengan masyarakat di alam pekerjaan yang lebih mencabar. Janganlah kita terikat dengan 3K iaitu kelas, kafe dan katil sahaja, kerana setiap pelajar seharusnya terlibat aktif dalam pelbagai kelab dan persatuan sebagai salah satu proses pembelajaran kehidupan,” ujarnya yang turut menerima Anugerah Tokoh Pemimpin Siswa dan Anugerah Pemimpin Program Keusahawanan.

YBhg Prof. Dato’ Dr. Siddiq Hj. Fadzil dalam ucapannya berkata, realiti yang berlaku pada masa kini adalah persaingan untuk mendapatkan pekerjaan dalam kalangan belia. Justeru, beliau menyarankan pelajar untuk menceburkan diri dalam pelbagai bidang dan tidak hanya mencari pekerjaan sebaliknya mencipta pekerjaan.

“Kepesatan perkembangan Malaysia kini amat memerlukan pelajar untuk turut menceburkan diri dalam bidang keusahawanan walaupun hanya bermula dengan tapak yang kecil. Pelajar seharusnya memanfaatkan peluang dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan selain perlu bijak merebut peluang yang ada demi kesejahteraan dan masa depan yang cerah,” ucapnya.

Bagi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata purata Skor GIINA yang direkod adalah 61.45%. Melalui model ini, setiap pelajar dipandu supaya terlibat dengan pelbagai aktiviti yang menggarap penguasaan kemahiran insaniah serta mencerna sahsiah diri sebagai modal insan berdaya saing dan berdaya maju di masa akan datang. Model GIINA ini meliputi 21 ciri graduan yang telah ditentukan merangkumi elemen holistik, seimbang dan berkeusahawanan.

“Mahasiswa adalah pemangkin dan aset yang sangat penting dalam pembangunan negara untuk meneruskan legasi kepimpinan negara pada masa hadapan. Mereka yang berfikiran kritis, dinamik juga mampu berperanan sebagai agen perubahan ke arah yang lebih baik untuk diri, masyarakat, bangsa dan negaranya. Justeru, menjadi hasrat di setiap institusi pendidikan untuk melahirkan pelajar yang tidak hanya berjaya di dalam akademik semata-mata, tetapi pelajar yang juga lebih kreatif dan inovatif,” ucap Prof. Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani.

Pada majlis tersebut, seramai tiga orang graduan menerima Anugerah Ikon GIINA. Mereka dipilih berdasarkan Skor GIINA tertinggi dikalangan graduan 2019. Saudari Nur Asyiqin Rumaizi, Fakutli Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Saudari Aini Farisya Jamaluddin, FST dan Saudari Marinah Rahman, FST.

Turut diberi pengahrgaan melalui Anugerah Sumbangsih kepada tiga individu yang telah memberikan khidmat bakti dan sumbangan yang sangat bermakna kepada pembangunan pelajar USIM iaitu Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, Mantan Naib Canselor USIM; Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM serta Tuan Mahathevan Gengatharan, Jurulatih Bola Sepak USIM. Manakala bagi kategori organisasi diberikan kepada Islamic Relief Malaysia melalui kerjasama penganjuran Gap Year Volunteerism dan UI Platinum Group Sdn. Bhd yang telah menyediakan ruang kepada pelajar USIM untuk aktiviti keusahawanan dan kerjaya.

Secara keseluruhan, AKSIS 18/19 telah menerima sebanyak 58 pencalonan bagi merebut 15 anugerah melalui dua kategori iaitu Kepimpinan dan Kesukarelawanan. Seramai 13 calon individu telah terpilih melalui peringkat temuduga dan main peranan (role play) sebagai persediaan ke arah Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2019 kelak.





Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan