Nilai, 18 Oktober 2019 – “Jangan berputus asa kerana kegagalan itu ialah suatu kejayaan yang tertangguh,” Dr Nisar Mohammad Ahmad, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) berucap dalam program Dialog Bersama Penulis USIM Writers’ Pool (UWP) sebagai menyuntik kata semangan kepada pelajar.

Penulis buku ‘PhD:Catatan Perjalanan Sebuah Universiti Kehidupan’ berkongsi pengalaman beliau semasa menyambung pelajaran di United Kingdom (UK) di peringkat Ijazah Sarjana supaya dapat memberi motivasi dan semangat kepada orang lain yang sama latar belakang dengan beliau.

“Saya datang dari latar belakang keluarga yang sederhana, saya masih ingat setiap kali mengisi borang bahagian gaji ayah, saya akan tulis gaji sebanyak RM350 sahaja,” ucapnya.

Dr Nisar Mohammad menyatakan bahawa beliau sering dinobatkan sebagai pelajar terbaik semasa di sekolah rendah dan di sekolah menengah, malah tidak pernah sekali-kali gagal dalam pelajaran.

“Saya tidak pernah diuji seberat ini semasa belajar di sekolah rendah dan sekolah menengah, ini ialah ujian yang paling berat saya pernah lalui. Gagal di peringkat pengajian doktor falsafah dan hanya dikurniakan sarjana falsafah memang satu tamparan hebat buat saya,” tambahnya.

Nisar Muhammad juga menerangkan tujuan buku ditulis adalah untuk memberi semangat kepada orang yang ingin menyambung pengajian ke peringkat tertinggi di samping berkongsi tips pengajian.

“Walaupun kita rasa susah, jangan berasa sedih dan tertekan. Kita bukan tak boleh berjaya, cuma belum sampai masanya,” katanya lagi.

Menurut Mantan Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Dr Ismail Abdullah yang mendalami bidang Matematik dalam pengajian doktor falsafah berkata bahawa buku beliau yang bertajuk ‘Dari Siong ke Menara Gading’ adalah panduan dan peninggalan beliau kepada generasi muda akan datang.

“Satu masa manusia akan menghadapi masa tua dan berpencen. Jadi, kita perlukan sesuatu untuk panduan generasi muda yang akan datang. Saya menulis buku ini dengan perasaan dan air mata. Apabila kita menulis dengan perasaan kita boleh menulis dengan yakin.

Beliau juga menjelaskan perbezaan buku ‘Dari Siong ke Menara Gading’ ini dengan buku-buku beliau yang lain.

“Pada bab yang terakhir dalam buku ini, saya berikan panduan kepada pelajar, kalau ingin berjaya mestilah menumpukan perhatian kepada pelajaran dan matlamat kita,” katanya lagi.

Dialog anjuran pelajar pelajar tahun tiga, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) bagi kursus Prinsip-Prinsip Kewartawanan di bawah seliaan Dr Siti Suriani Othman dan UWP dianjurkan dalam bentuk simulasi sidang akhbar ini mempraktikkan sesi temubual dalam sidang akhbar dengan sumber berita sebenar.

Penulisan oleh pelajar:
Farah Syamimi Omar
Pelajar tahun tiga
Fakulti Pengajian Bahasa Utama