2 Ogos 2008 – Patriotisme mengandungi pelbagai amanat dan falsafah yang mana dapat menemukan kembali jatidiri bangsa yang telah luntur dan tersisih bagi memulakan perjalanan sebagai insan yang berjiwa Malaysia. Menyedari hakikat ini, Universiti Sains Islam Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan Putrajaya menyahut aspirasi kerajaan dalam memperkasakan modal insan melalui penganjuran Festival Cipta Lagu Patriotik ( CIPTA 08 ). Program ini merupakan julung kalinya diadakan yang melibatkan kerjasama diantara Jabatan Penjara dengan IPTA dan diharap akan menjadi program tahunan bagi USIM juga Jabatan Penjara.

Lagu hasil nukilan Mohd Shahrezat Rajab penghuni penjara Kluang bertajuk ’Permata Bangsa’ dinyanyikan oleh Sahri AF telah dinobatkan sebagai lagu terbaik sempena Festival Cipta Lagu Patriotik (CIPTA ’08). Lirik lagunya telah digubah oleh Rohaya binti Malek, pelajar dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM.Hasil gabungan idea yang mantap dan kreatif lagu ’Permata Bangsa” ini telah berjaya membawa pulang wang tunai RM 1,000, piala kejuaraan dan hadiah iringan.

Lagu ’Aku Cinta seorang Perajurit’ gubahan Nurul Syazwani Zainal Abidin dari Sekolah Henry Gurney nyanyian Adibah Noor berjaya mendapat tempat kedua manakala lagu ’Duhai Puteri’ gubahan Hamid Mohamad dari penjara Kluang berjaya merangkul tempat ketiga. Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM 750.00 dan RM 500.00 beserta hadiah iringan. Selain itu, lirik lagu terbaik berjaya membawa pulang wang tunai RM 500.00 setiap seorang.

Program ini diadakan pada 2 Ogos jam 8.00 malam bertempat di Auditorium Cempaka Sari Putrajaya. Menarik dan uniknya CIPTA 08 ini ialah penglibatan siswa/i dan penghuni penjara dalam melestarikan semangat kemerdekaan 51 tahun dan selari dengan temanya “ Cintai Tanahair… Disini kita bermula ” . Antara objektifnya ialah pemilihan Ikon patriotik dipilih dikalangan penghuni penjara (penghasilan lagu patriotik) bertujuan menunjukkan bagaimana insan yang dibimbing dengan program yang berkesan oleh kakitangan penjara (program pemulihan) dan mahasiswa (penghasilan lirik patriotik) berupaya mempunyai jatidiri dan rasa kecintaan yang tinggi kepada tanahair malah boleh menjadikan pengajaran yang sangat berguna kepada masyarakat khususnya pelajar sekolah.

Bermula dengan Bengkel Penulisan Lirik Patriotik, seramai 30 siswa/i diberi tunjuk ajar khusus oleh Habsah Hassan dan Siso. Hasil gabungan siswa/i dan penghuni penjara, sebanyak 15 lagu terpilih menyertai peringkat saringan yang diadakan pada 30 Mei 2008 yang lalu bertempat di Penjara Kajang dan Penjara Wanita Kajang. Berdasarkan kepada persaingan hebat diperingkat saringan, pihak juri memilih 8 lagu terbaik ke final CIPTA 08 yang akan diringi oleh Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

CIPTA 08 turut dihadiri oleh Y.Bhg. Tan Sri Dr. Mohd Yusof Mohd Noor Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Dato’ Zulkifli sebagai tetamu kehormat. Menurut Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, ”Program ini merupakan satu platform bagi pelajar memberi khidmat kepada masyarakat termasuk penghuni penjara”.

Selain itu penyertaan mahasiswa dan banduan didalam festival ini akan turut diwarnai dengan Pertandingan Melukis Tokoh Patriotik Malaysia dan Sembang – sembang Patriotik di media elektronik yang mana RTM merupakan Rakan Media selain dari sokongan padu entiti media yang lain.