OMAN, 3 Februari 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengekalkan reputasinya sebagai pasukan pendebat Bahasa Arab terbaik apabila diumumkan sebagai johan lewat petang semalam dalam Kejohanan Debat Arab Asia ke-2 (2nd Asian Arabic Debating Championship) bagi kategori Bukan Penutur Asli yang berlangsung di Oman Convention and Exhibitions Center (OCEC), Muscat yang bermula sejak 29 Januari lalu.

Lebih manis lagi Muhammad Afiq Arsyad Awang @ Tarmizi dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) dinobatkan sebagai Top 2 Pendebat Terbaik Keseluruhan manakala Maisarah Ahmad Azmi dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) dinobatkan Top 5 Pendebat Terbaik Keseluruhan.

USIM turut diwakili oleh dua orang lagi pendebat hebat iaitu Haafizah Mohd Rosli dan Nur Rasyiqah Unigkutti, kedua-duanya juga merupakan mahasiswa dari FSU.

Menurut Encik Ahmad Norsyafwan Norawavi, Guru Bahasa di Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang juga jurulatih pasukan debat Bahasa Arab tersebut berkata,

“Persiapan kali ini seperti biasa, dengan jadual yang disusun dan pertandingan persahabatan dengan universiti negara arab dan ASEAN secara dalam talian serta kehadiran alumni-alumni pendebat USIM yang turun sama membantu meningkatkan lagi motivasi pendebat-pendebat muda ini untuk bertanding dengan penuh keyakinan,”

“Saya menghargai sokongan pengurusan Universiti terutamanya Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Adnan Mohd Yusoff, Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) dan pendebat yang sanggup memberi komitmen terhadap latihan yang dijalankan walaupun mereka dalam persediaan peperiksaan akhir, semoga kemenangan ini memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk memilih pengucapan awam Bahasa Arab sebagai medium mengasah bakat mereka. Semoga aktiviti debat Bahasa Arab terus disokong dan mampu membawa nama malaysia serta universiti di peringkat antarabangsa,” tambah beliau.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Oman dengan kerjasama Oman Debate Centre dan QatarDebate Centre tersebut menyaksikan sebanyak 42 pasukan bertanding yang turut merangkumi beberapa program latihan dan pusingan kompetitif, dengan penyertaan seramai 320 peserta dari 18 negara iaitu Qatar, Oman, Australia, Azerbaijan, India, Indonesia, Iraq, Jordan, Kuwait, Lubnan, Malaysia, Pakistan, Palestin, Arab Saudi, Korea Selatan, Thailand, Vietnam dan Yaman.

Disediakan oleh:
Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan