NILAI, 2 Mac 2018 – Persiapan dan latihan intensif selama dua minggu oleh empat siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ternyata berbaloi apabila mencipta kejayaan buat universiti di Indonesia. Mereka muncul naib johan dalam pertandingan akhir UNISI Arabic Debating Championship (UADC) yang berlangsung di Universitas Islam Indonesia (UII), Yogyakarta Indonesia pada pagi tadi.

Para pendebat bahasa Arab USIM yang dibarisi oleh Muhammad Syamim Md Morshid;20, Nur Ain Hannani Hamid;21, Sharifah Thahirah Syed Mustafa;22 dan Adam Fikry Bakru Rozi;23 telah mempamerkan aksi debat yang cemerlang sebagai kerajaan bertemu Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Gunung Djati, Bandung selaku pembangkang. Membahaskan usul ‘Majlis Ini Percaya Pengharaman Crypto Currency Penting’, kehebatan pendebat USIM akhirnya berjaya disekat oleh pihak lawan.

Sebelum mara ke pentas akhir, pendebat USIM telah menunjukkan taring sejak diperingkat saringan lagi apabila memenangi semua lima sidang perdebatan. Di peringkat suku akhir mereka menewaskan Institut Agama Islam Negeri Jember sebelum menundukkan kehebatan pendebat UIN Malang di peringkat separuh akhir.

Selaku naib johan, para pendebat USIM membawa pulang hadiah wang tunai Rp 3,000,000.00, piala kejohanan dan sijil. Walaupun naib johan, kemampuan pendebat USIM diiktiraf apabila Nur Ain Hannani Hamid dan Sharifah Thahirah Syed Mustafa tersenarai dalam 10 pendebat terbaik keseluruhan kejohanan ini dan masing-masing menerima hadiah wang tunai Rp 200,000.00.

Ini adalah penyertaan sulung USIM dalam UADC setelah menerima jemputan dari pihak penganjur iaitu UII dan menjadi wakil tunggal negara di kejohanan ini. Walaupun ia merupakan penyertaan pertama, kehebatan berhujah para pendebat USIM dikagumi dan dihormati oleh para pendebat di sana. Pengusaan bahasa Arab yang baik dan kematangan membahaskan setiap usul perdebatan turut mendapat pujian oleh juri kejohanan.

UADC merupakan kejohanan debat bahasa Arab yang utama dan terbesar di Indonesia yang dianjurkan oleh el-Markazi berpusat di UII. Kejohanan ini berlangsung bermula 27 Februari lalu dan berakhir pada hari ini dengan melibatkan penyertaan 87 orang pendebat dari 24 pasukan debat yang mewakili 16 buah universiti.

Antara institusi pengajian tinggi di Indonesia yang turut berentap dalam kejohanan ini adalah Universitas Muhammadiyah Surakata, Universitas Al-Azhar Indonesia, UIN Syarif Hidayatullah, UIN Maulana Malik Ibrahim, Universitas Muhammadiyah Yogyakarta dan Institut Dirosat Islamiyah Al-Amein.

Selain itu, satu pasukan debat bahasa Arab USIM turut membawa nama negara kini di Qatar University Arabic Debate Championship bertempat di University Qatar, Doha. Kejohanan tersebut yang bermula secara rasmi pada semalam akan berakhir pada 7 Mac hadapan.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204