NILAI, 15 Mac 2018 – Jawatankuasa Kerohanian Kolej PERMATA Insan dengan kerjasama Ahli Halal Action for Young Scientist Project telah menganjurkan Kursus Sembelihan & Forum Isu Halal pada 15 Mac 2018. Program julung kali anjuran Ahli Makmal Halal telah mendapat sambutan yang menggalakkan oleh warga Kolej PERMATA Insan secara keseluruhannya.

Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang hari bermula seawal jam 8 pagi dengan sesi taklimat ringkas oleh wakil daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan berkenaan teknik sembelihan. Selain diberi pemahaman tentang ilmu dan kaedah penyembelihan secara halal, para pelajar turut diberi peluang menjalani praktikal penyembelihan mengikut kumpulan yang telah ditetapkan.

Kemudian, program disusuli dengan penganjuran forum bertemakan ‘Isu Halal dan Peranan Kita’ yang merupakan salah satu tarikan utama. Forum yang dipengerusikan oleh Ahmad Faiz Yazid, 16 selaku moderator telah menampilkan gandingan tiga panel jemputan yang mempunyai kepakaran dalam isu tersebut.

Ahli panel terdiri daripada YBrs. Dr. Mohd Mahyeddin Mohd Salleh dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg. Profesor Madya Dr. Alina Abdul Rahim dari Fakulti Sains dan Teknologi, USIM dan YBhg. Profesor Madya Dr. Mohd Khan Ayob, Mantan Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut Ketua Jawatankuasa program, saudara Irfan Ezani Shuhaimi, program seumpama ini telah dirancang rapi dan mengambil peluang melaksanakan program tersebut sempena pengisian mingguan selepas peperiksaan semester 1/2018 berakhir. Objektif program ini adalah bagi memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan ilmu dan kaedah penyembelihan, di samping menggalakkan pelajar untuk mewujudkan sensitiviti dalam isu halal global sekaligus menyedari peranan mereka sebagai generasi pewaris negara.

YBhg. Profesor Dr. Che Husna Azhari, Pengarah Kolej PERMATA Insan turut berkata, pihak kolej sentiasa memberi sokongan kepada aktiviti ilmiah seperti ini dan ia perlu diketengahkan setelah melihat semangat anak-anak muda PERMATA Insan yang berminat mendalami isu halal, ujar beliau yang merupakan Penasihat program tersebut.

 

Disediakan oleh:
Nor Adlyizan Theis
Kolej Permata Insan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204