KEMBOJA, 19 Januari – Masyarakat Melayu Champa di Kemboja menyedari dengan memberi pendidikan yang seimbang iaitu agama dan konvensional kepada anak-anak mereka akan melahirkan generasi baharu Melayu Champa yang lebih baik untuk merubah taraf hidup dan sosio-ekonomi mereka di masa hadapan.

Atas kesedaran ini, beberapa sekolah persendirian yang mengintegrasikan pembelajaran dua silibus iaitu Pendidikan Islam seperti Tauhid, Feqah dan Al-Quran dan silibus Konvensional antaranya Sains, Matematik, Kimia, Bahasa Khmer, Bahasa Inggeris telah mula ditubuhkan oleh golongan muda Melayu Champa.

Mereka ini kebanyakan lulusan universiti luar negara seperti dari Malaysia , Mesir, Arab Saudi mengambil inisiatif menubuhkan sekolah-sekolah integrasi ini. Salah-satunya adalah Sekolah I-SMART Center yang terletak di Kampung Chumnik di dalam wilayah Tbong Khmom. Ditubuhkan pada 2013 ia mempunyai seramai 185 pelajar dengan sesi persekolahan dua waktu iaitu pagi dan petang.

“Guru-guru untuk mengajar Pendidikan Islam datangnya dari masyarakat kita tetapi untuk subjek konvensional, kita terpaksa mengambil guru dari sekolah milik kerajaan untuk mengajar secara sambilan. Kita harapkan nanti, anak-anak yang kita didik melalui sekolah integrasi ini akan ada antara mereka kelak yang menjadi pendidik yang berkebolehan mengajar subjek agama dan konvensional”.

“Kita ramai yang berkebolehan dalam bidang agama, tetapi dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, kewangan dan pendidikan tinggi masih kecil bilangannya. Ketidakseimbangan ini yang membuatkan masyarakat kita agak ketinggalan, justeru sekolah integrasi ini adalah usaha kita untuk melahirkan lebih ramai profesional Melayu Champa yang aktif menyumbang kepada negara, agama dan bangsa kelak” ujar Ustaz Mohamad Sulaiman, 37, Mudir Am sekolah ini.

Institut Integrasi Tahfiz Cambodia (INTAC) yang terletak di Kampung Speu, wilayah Kompung Cham pula merupakan satu-satunya sekolah integrasi yang menerapkan tiga silibus iaitu agama, konvensional dan tahfiz (hafazan al-Quran) kepada para pelajarnya di Kemboja. Sekolah yang didirikan dengan sebahagian besar sumbangan diterima dari rakyat Malaysia yang prihatin kini mempunyai pelajar sekitar 70 orang sejak mula beroperasi pada 2015.

Menurut salah seorang pengasasnya Ustaz Sharkawi Salleh, 35, kesedaran golongan ibu-bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah integrasi seperti ini amat tinggi. Kapasiti bangunan sekolah dan bilangan tenaga pengajar sedia ada tidak mampu untuk memenuhi permintaan masyarakat, justeru pengambilan pelajar dibuat secara berperingkat.

“Alhamdulillah, rakyat Malaysia banyak membantu merealisasikan penubuhan sekolah ini malahan sehingga kini turut menaja kewangan kepada para pelajar kita” tambahnya.

Sekolah-sekolah ini yang berteraskan sekolah berkebajikan hanya mengenakan yuran yang rendah sekitar USD50 hingga USD120 setahun. Malahan pelajar yang datangnya dari keluarga miskin dan yatim piatu tidak dikenakan sebarang yuran.

Peluang melihat secara dekat perkembangan pendidikan masyarakat Islam Melayu Champa dan kehidupan seharian mereka ini dirasai sendiri oleh sekumpulan siswa-siswi Kelab Debat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berada di Kemboja sejak Selasa lalu (17 Januari) hingga esok. Mengikuti program Global Islamic Student Outreach (GISO) – Kembara Semai Kasih di bumi Kemboja 2017, terdiri daripada 18 pelajar, mereka tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Chumnik yang berdekatan dengan Sungai Mekong.

Menjadikan pertanian dan nelayan sungai sebagai sumber ekonomi, kampung ini merupakan perkampungan masyarakat Islam terbesar di Kemboja iaitu kira-kira 1500 penduduk. Sepanjang di sana, mereka turut melakukan aktiviti pemindahan ilmu, perkongsian kebudayaan dan sumbangan pakaian dan barangan keperluan harian. TAMAT