NILAI – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Yang Berbahagia Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Hj. Abdul Shukor bin Hj. Hussin telah membuat pembentangan mengenai pengalaman USIM untuk mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli demi mencapai misi dan visi penubuhan USIM di Bilik Mesyuarat Utama Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), baru-baru ini.

Menurut beliau, semasa ingin menubuhkan USIM yang dahulunya Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), beliau dan ahli LPU yang lain telah dimaklumkan agar penubuhan universiti Islam ini perlulah mempunyai kelainan dan keunikan yang tersendiri sebagai strategi untuk bersaing dengan universiti yang sedia ada.

“Seperti contoh Program Komunikasi di USIM ini perlu mengetengahkan sesuatu yang unik iaitu dengan menerapkan elemen-elemen Islam di dalam subjek yang ditawarkan dan seterusnya akan mewujudkan komunikasi Islam,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa penubuhan USIM ini juga dilihat selari dengan seruan Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah banyak menekankan tentang maqasid syariah, islah, wasatiyah yang mana kesemuanya merupakan hasil daripada integrasi ilmu.

Menurutnya lagi apa yang ditekankan oleh Perdana Menteri itu juga berkait dengan pembangunan Satu Malaysia dan sebagai proses untuk membentuk satu sistem sehingga ianya sampai kepada satu tahap yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat.

Dalam akhir pembentangannya, beliau turut menekankan bahawa setiap pensyarah yang berkhidmat di USIM ini perlulah mempunyai semangat dan ruh serta memahami risalah USIM dan membantu ke arah perubahan yang lebih baik menerusi ilmu, pendidikan dan sistem yang boleh diterima dan dipercayai oleh semua.

Sementara itu, Dekan FKP, Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani turut mengulas bahawa penganjuran bengkel ini adalah untuk memupuk semangat mengintegrasikan ilmu di kalangan para pensyarah yang mana akan menerbitkan buku teks untuk kegunaan para pelajar di USIM.

“Kita tidak mahu lagi menggunakan buku-buku yang diterbitkan oleh barat untuk dijadikan rujukan sebaliknya kita mahu membentuk pemikiran dan imaginasi para pelajar mengikut acuan dan pemahaman kita dan menurut al-Quran dan as-Sunnah” katanya diakhir ucapan ketika mempengerusikan pembentangan yang disampaikan oleh Pengerusi LPU, USIM.

Bengkel anjuran FKP ini juga berjaya menarik lebih daripada 40 kakitangan akademik USIM.

Oleh:
Zaheril Zainudin
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan