Pentadbir USIM teruja ikuti perbahasan langsung di Parlimen

KUALA LUMPUR, 30 Julai 2018– Mengikuti secara dekat sesi perbahasan di Dewan Rakyat memberi pengalaman baharu kepada Pentadbir dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berpeluang mengunjungi Bangunan Parlimen untuk mengikuti sesi Dewan Rakyat. Terdiri dari Kumpulan Pengurusan dan Profesional pelbagai skim perkhidmatan, lawatan ke Parlimen ini dianjurkan oleh Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM disertai seramai 19 orang pegawai.

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama penggal pertama Parlimen ke-14 telah disempurnakan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mencipta sejarah baharu pada negara apabila Malaysia dipimpin oleh kerajaan baharu, Pakatan Harapan. Persidangan Dewan Rakyat yang bermula pada 16 Julai lalu akan berlangsung selama 20 hari iaitu sehingga 16 Ogos 2018 ini.

Mengambil peluang sesi Dewan Rakyat yang masih berjalan, kunjungan oleh Pentadbir USIM ini memberi pendedahan kepada para pegawai kerajaan berkenaan situasi sebenar Persidangan Parlimen Malaysia serta mengetuai lebih lanjut mengenai tatacara perjalanan perbahasan di Dewan Rakyat serta pentadbiran dan fungsi Parlimen. Lawatan ini juga memberi input kepada peserta mengenai etika pengurusan protokol yang melibatkan urusan rasmi di Parlimen Malaysia.

Menurut penyelaras lawatan ini, Encik Zulfadhli Hamzah selaku Exco PRAGMATIS, para delegasi amat berterima kasih kepada Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia atas persetujuan menerima permohonan PRAGMATIS berkunjung ke Parlimen serta berpeluang menjadi pemerhati sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

“Kita amat gembira kerana pada sesi ini, kita berpeluang melihat secara terus sesi soal jawab bertulis dan lisan oleh ahli Dewan Rakyat yang diajukan kepada pihak kerajaan antaranya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab persoalan mengenai berkaitan PROTON dan projek kereta nasional manakala Menteri Pertahanan, Tuan Muhammad Sabu menjawab soalan menyentuh penglibatan tentera Malaysia di negara asing sebagai tentera pengaman dan isu kedaulatan perairan negara,” ujarnya yang juga merupakan Penolong Pendaftar di USIM ‘Alamiyyah.

“Selain berpeluang mengikuti sesi Dewan Rakyat, kami juga di bawa melawat ke Dewan Negara, Galeri Parlimen serta kawasan sekitar. Sepanjang sesi ini, Encik Idzuafi Hadi Kamilan, iaitu Pegawai Penyelidik di Parlimen Malaysia turut memberi penerangan yang amat jelas dan baik mengenai sejarah, peranan dan governan Parlimen Malaysia”.

“Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Parlimen Malaysia yang terdiri daripada tiga komponen penting iaitu Yang Di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat melambangkan keutuhan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang kita junjung. Amat penting kita sebagai warganegara Malaysia untuk menghormati institusi ini,” ujar Mohd Zaini Othman, Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik USIM yang turut mengikuti lawatan ini

Melalui sesi lawatan kira-kira dua jam ini, di akhir kunjungan para delegasi menyuarakan rasa keterujaan dapat melihat secara langsung sesi perbahasan di dalam dewan yang sebelum ini ditonton di televisyen atau atas talian (online) sahaja. Selain itu, peluang dapat bertentang mata dan beramah mesra dengan beberapa ahli parlimen di lobi Dewan Rakyat juga secara tidak langsung memberi peluang untuk memperkenalkan PRAGMATIS dan USIM kepada mereka.

 

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032

2018-07-31T09:17:01+00:00