PUTRAJAYA, 13 September 2019– Gelombang penyelidikan dan inovasi dalam pembelajaran kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang diterajui oleh Ibnu Ummi Maktum Research Center (UMMI) dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM telah membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai Johan dalam kategori Anugerah Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka) untuk inovasi ’Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran & Sunnah’, di Majlis Anugerah Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2019 (AKRI 2019) bertempat di Hotel Everly, semalam.

Menurut Ketua Kumpulan UMMI, Mohd Nur Adzam Rasdi berkata, UMMI mengetengahkan projek ’Emansipasi UMMI’ iaitu kaedah yang digunakan bagi mencapai hasil pembelajaran kursus yang ketiga, dimana mahasiswa berupaya menganjurkan program kesedaran berkaitan isu dan cabaran OKU beragama. Ia bertujuan menerapkan beberapa kemahiran seperti kemahiran literasi Braille dan kemahiran berinteraksi dengan komuniti OKU Penglihatan.

Selain itu, USIM juga turut mendapat kemenangan berganda apabila Specialty Program for Alcohol and Drug Abuse (SPADA) dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) yang menjurus kepada penyelidikan dalam penyalahgunaan dadah mendapat Tempat Ketiga bagi Kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif.

Manakala Ketua Kumpulan Dr Mohamad Isa Amat berkata, SPADA pula mengetengahkan Program Akademik peringkat Pascasiswazah yang pertama seumpamanya di Malaysia ditawarkan di Universiti Awam dalam latihan ikhtisas dan professional dalam bidang Penyalahgunaan Dadah kepada pegawai dan kakitangan sokongan di jabatan berkaitan rawatan dan pemulihan dadah. Program Fleksi Diploma Pascasiswazah dalam Penyalahgunaan Dadah/ Sarjana Kaunseling Penyalahgunaan Dadah ini mempunyai keunikan, di mana program siswazah mempunyai dua pilihan untuk graduasi, iaitu calon boleh menamatkan pengajian sama ada Diploma Pascasiswazah sahaja, atau meneruskan pengajian sehingga peringkat Sarjana Kaunseling dengan tambahan dua semester.

Dalam masa yang sama, Yang Berhormat Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia berucap semasa merasmikan majlis tersebut, melalui penganjuran AKRI dapat melihat sejauh mana IPT dan para pensyarah bersedia menghadapi cabaran-cabaran dalam pendidikan tinggi termasuk cabaran menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat. Perubahan di dalam arus pendidikan perlu dititik berat kerana untuk kekal relevan, perubahan yang turut merangkumi aspek-aspek ruang pembelajaran, kurikulum yang lebih organik dan penggunaan aplikasi terkini dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) adalah sangat penting kepada proses pembelajaran yang menyeluruh,” ucapnya.

Tambah beliau lagi, anugerah ini bukan sahaja memberi peluang kepada tenaga pengajar mengetengahkan kreativiti masing-masing, tetapi juga membantu mengolah sistem pembelajaran secara holistik. Inspiring Transformative Educators merupakan tema AKRI2019 yang membawa harapan agar inovasi, kreativiti dan daya usaha yang ditunjukkan oleh pendidik boleh menjadi inspirasi kepada semua dalam usaha menghasilkan Value-Infused Future Proof Talents”.

AKRI 2019 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyaksikan 13 pemenang daripada 32 finalis yang telah disenarai pendek pada peringkat sesi pitching yang telah bermula pada 11 September 2019. Penyertaan yang diterima tahun 2019 adalah sebanyak 234 berbanding 201 pada tahun lepas. Ia terbuka kepada semua universiti, politeknik dan kolej komuniti serta Insititut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) sama ada di peringkat institusi atau individu.

Majlis ini turut dihadiri oleh wakil USIM, Profesor Dato’ Dr Roshada Hashim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan  Profesor Madya Dr. Nurlida Basir selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan AKRI 2019.

Disediakan oleh:
Mohd Badrul Hisham Zakaria
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan