NILAI, 18 Oktober 2019 – Seramai 9361 pelajar yang hadir mengundi bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2019/2020 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan catatan peningkatan kehadiran mengundi sebanyak 2.81% iaitu peratusan sebanyak 92.48% berbanding 89.67% pada tahun 2018.

Proses pemilihan yang bermula pada pukul 8.30 pagi selesai pada jam 4.30 petang pada 17 Oktober berlangsung serentak di 12 pusat pengundian sekitar Kampus Nilai, Kampus Pandan Indah, Darul Quran Kuala Kubu Bharu dan Hospital Temerloh yang dilaksanakan secara eUndi. Pelaksanaan melalui eUndi secara tindak langsung memberi peluang kepada pelajar untuk turut merasai pengalaman mengundi bagi menjalankan salah satu tanggungjawab sebagai pelajar.

“Alhamdulillah, mengikut statistik yang ditunjukkan ia menampakkan satu semangat dan ukhwah Islamiyah di antara calon yang menang dan yang kalah. Pengamatan saya juga, ia bakal memberi persepsi baik kepada kerjasama yang akan terjalin bersama pihak pengurusan universiti dan pemegang taruh yang lain di USIM nanti,” ujar Naib Canselor USIM, Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Pada majlis pengumuman keputusan pilihanraya yang berlangsung sekitar pukul 5.30 petang menyaksikan pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi, Saudari Hanis Syafiqah Ribuan menerima undian tertinggi iaitu sebanyak 9125 bagi kawasan umum.

Hanis Syafiqah berkongsi pengalaman memilih untuk menyertai MPP untuk belajar dengan lebih dekat tentang pengurusan dan aspek kebajikan tentang pelajar. Beliau membawa tiga manifesto iaitu aspek pembangunan siswi bagi memperkasakan platform bakat sedia ada dan aktiviti kesukarelawanan melalui kerjasama pimpinan siswi kelab. Kedua, kebajikan iaitu menjalin hubungan baik dengan Pusat Tanggungjawab bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa dan mahasiswi dalam pengurusan emosi. Ketiga aspek keilmuan bagi dengan mewujudkan hari dataran ilmu colloseum dewan kuliah pusat untuk meningkatkan intelektual mahasiswa mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani mengharapkan kesatuan pelajar dan pimpinan baharu ini akan memberi kerjasama dan sokongan kepada pengurusan terhadap perancangan yang akan dilaksanakan selain menjadi suara kepada rakan-rakan pelajar yang boleh bersama membincangkan penambahbaikan terhadap sesuatu perkara baharu yang diutarakan.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan





Lihat foto menarik yang lain pada pautan di bawah :
https://www.facebook.com/pg/USIM.eGallery/photos/?tab=albums&ref=page_internal