NILAI – Isu penyalahgunaan dadah merupakan isu yang sentiasa relevan merentasi masa yang telah mengancam semua golongan masyarakat sama ada yang berpendidikan tinggi, professional mahupun golongan yang tidak berpendidikan.

Tarikh 26 Jun 1987 telah diisytiharkan sebagai Hari Antidadah Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sehingga kini setelah 25 tahun berlalu, isu ini masih belum selesai malah menjadi satu wabak ancaman yang semakin membimbangkan masyarakat dunia pada hari ini.

Dewasa ini, penyalahgunaan dadah bukan hanya membawa ancaman kepada kesihatan bahkan telah menjadi satu ancaman yang besar terhadap kestabilan global dan pembangunan sosio ekonomi sesebuah Negara.

Sasaran oleh pihak kerajaan pada tahun 2015 negara bebas dadah menunjukkan betapa seriusnya isu ini diberikan perhatian khusus. Walaubagaimanapun, segala usaha dan inisiatif yang diambil memerlukan penglibatan dan kerjasama seluruh rakyat Malaysia di dalam memastikan hasrat yang murni ini tercapai.

Sehubungan dengan itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di bawah ACREDA (Asian Centre For Research On Drug Abuse) telah mengambil langkah yang proaktif semenjak tahun 2006 sehingga kini dengan penganjuran seminar baik diperingkat antarabangsa mahupun peringkat nasional yang memberikan pendedahan kepada seluruh genap lapisan masyarakat tentang peri pentingnya pencegahan penyalahgunaan dadah ini.

PREVENT 2012 (National Seminar On Prevention of Drug Abuse) yang dianjurkan kali ini antara lain membincangkan peranan, penglibatan serta strategi dan penekatan yang boleh dilaksanakan oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan masyarakat di dalam membantu membanteras gejala penyalahgunaan dadah di Negara ini.

Program selama 2 hari bermula pada 2 hingga 3 Mei 2012 ini mendapat kerjasama yang baik dari pelbagai jabatan dan agensi pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan. Antara yang terlibat adalah SPADA Universiti Malaysia Sabah; Universiti Pendidikan Sultan Idris; Universiti Malaysia Terengganu; Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Pelajaran Malaysia; Kementerian Kesihatan Malaysia; PENGASIH Malaysia; PERKAMA International; Polis DiRaja Malaysia dan juga PEMADAM.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda di dalam ucapannya ketika berucap merasmikan PREVENT 2012 berkata usaha untuk mencegah aktiviti penyalahgunaan dadah ini hendaklah dilakukan bersama-sama dan beliau juga menyeru agar lebih ramai lagi penglibatan dikalangan    murid-murid sekolah dan juga mahasiswa-mahasiswi IPT untuk melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti untuk mencegah gejala-gejala sosial termasuklah gejala penyalahgunaan dadah ini.

Dalam pada itu, presiden PENGASIH Malaysia, Dato’ Yunus Pathi ketika ditemui berkata keluarga merupakan ejen yang utama dan memainkan peranan yang penting di dalam menangani isu ini. Beliau menegaskan sudah tiba masanya para ibu bapa menjadi ejen untuk bercakap dirumah mengenai bahaya dadah kepada anak-anak.

“Saya memuji USIM khusunya ACREDA kerana mengambil inisiatif pencegahan ini kerana setelah sekian lama Negara kita  pada suatu ketika dahulu hebat di dalam aktiviti pencegahan tetapi pada hari ini telah beralih fokus kepada pemulihan” ujar beliau.

“Kita tidak menafikan pemulihan tetapi pencegahan hendaklah diperbanyakkan lagi supaya mengurangkan penagih dadah baru dan PREVENT ini merupakan sebuah program yang sangat baik dengan pembentangan kertas kerja tentang kaedah pencegahan yang terbaik yang patut dilakukan pada masa kini” tambah beliau lagi.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa