NILAI, 8 Ogos 2019 – Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM pada majlis yang berlangsung semalam bertempat di Panggung Budaya, Pusat Kebudayaan USIM.

“USIM amat berbesar hati mendapatkan khidmat beliau sebagai pakar rujuk yang akan dikelola oleh beberapa jabatan di USIM. Antara perancangan rujukan adalah khidmat nasihat dalam penyelidikan bersama Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama; khidmat nasihat dalam penghasilan penerbitan karya bersama Bahagian Penerbitan; khidmat nasihat pakar dalam penganjuran program kebudayaan bersama Pusat Kebudayaan; menyampaikan wacana dalam bidang kepakaran anjuran Perpustakaan dan Pusat Kebudayaan serta penganjuran Majlis Syarahan Umum anjuran FPBU,” ucap YBhg Profesor Dr Abdul Rahim Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa mewakili Naib Canselor USIM.

Ucapnya lagi, sebagai sasterawan dan ahli akademik yang dihormati, beliau telah memainkan peranan penting dalam dunia kesusasteraan Melayu melalui pelbagai pertemuan penulisan dan pembentangan kertas kerja, ternyata sumbangan beliau tentang teori-teori sastera dalam hubungannya dengan kesusasteraan Melayu amat besar.

“Sebagai tambahan, saya berharap agar Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan Pusat Pengajian Teras akan mengambil inisiatif ke arah memartabatkan agenda memperkasa bahasa Melayu di USIM. Semoga dengan pelantikan ini dapat menyemarakkan budaya Integrasi ilmu Naqli dan Aqli kepada warga kampus keseluruhannya”.

Profesor Emeritus Dr Muhammad berkata pelantikan tersebut menjadi satu titik permulaan yang baik untuknya menyumbang idea bersama universiti dan mengajak supaya sama-sama mengkaji keunikan bahasa dan kesusasteraan Melayu.

”Saya menganggap pelantikan ini satu amanah untuk menyalurkan buah fikir dan memainkan peranan bersama USIM selain sama-sama menghayati karya Melayu melalui pelbagai program yang telah dirancang untuk tempoh dua tahun ini nanti,” ucapnya.

Profesor Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh, 77, berasal dari Perak dan mula dikenali sebagai penulis pada akhir tahun 1960-an dan menulis puisi yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Ketokohan beliau dalam dunia penulisan puisi Melayu moden dikagumi oleh para peminat sastera tanah air apabila karya-karyanya, terutamanya puisi, mendapat perhatian bukan sahaja oleh Panel Hadiah Karya Sastera tanah air bahkan setelah beliau memenangi “Hadiah Sastera Asean” di Jakarta.

Sejak tahun 1971, beberapa buah puisinya telah memenangi Hadiah Karya Sastera dan kemudiannya dalam tahun 1977, beliau menerima Hadiah Sastera Asean bahagian puisi dengan kumpulan puisi beliau Perjalanan Si Tenggang II.

Pelantikan ini adalah selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melantik Sasterawan@USIM, yang bakal menerima manfaat seperti terkandung dalam Skim Lantikan Kakitangan Akademik (SLAK) berbentuk honorarium, insentif harian serta tanggungan perbelanjaan perjalanan program anjuran bersama USIM oleh Univerisiti mengikut pertemuan minimum sama ada 4 kali dalam tempoh 2 tahun atau 2 kali setahun. Secara tidak langsung, sumbangan dan pengiktirafan beliau boleh dimanfaatkan secara menyeluruh meliputi peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan