Nilai, 6 November 2017- Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diberi pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara ke-11 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi di Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) bertempat di Hotel Mariott Putrajaya pada 3 November 2017.

Di majlis tersebut penganugerahan disampaikan oleh YB Dato’ Seri Idris bin Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi atas sumbangan beliau sebagai ahli akademik menerusi bidang kepakarannya selain amat berpengalaman luas dalam dunia akademik serta pentadbiran pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Nilai keilmuan yang dimilikinya kerap beliau kongsikan dengan masyarakat melalui penulisan di media yang menyentuh pelbagai isu penting berkaitan pendidikan, sains dan peristiwa semasa antaranya merupakan kolumnis akhbar New Straits Times sejak tahun 1995 lagi dan terkini akhbar The Sun.

Sebelum dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, telah mempunyai hubungan langsung dengan USIM sebelum ini apabila dilantik sebagai penyandang Kursi Akademik Kepemimpinan Islam dan Felo Utama di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Antara pencapaian tertinggi beliau mendapat pengiktirafan Pingat Gilbert pada Mei lalu dan turut mencipta sejarah kerana menjadi penerima sulung dari Asia diberi penghormatan menerima pingat Gilbert atas kepimpinan ulung dan pengalaman luas beliau dalam dunia akademik serta pentadbiran pengajian tinggi di peringkat Malaysia dan luar negara.

Turut hadir meraikan kejayaan Prof. Tan Sri Dzulkifli pada semalam adalah Naib Canselor USIM, Profesor Dato Dr Musa Ahmad. Dalam reaksinya selepas majlis berkenaan, beliau mewakili warga USIM mengucapkan tahniah dan berbangga atas pengiktirafan yang diterima oleh Prof. Tan Sri Dzulkifli. Buah fikiran dan kepimpinan beliau selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti telah membawa universiti lebih cemerlang pada masa kini dan mendatang.

AAN merupakan pengiktirafan tertinggi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi yang diberikan kepada ahli akademik yg memberi sumbangan tertinggi dan cemerlang dalam perkembangan pendidikan dan pembangunan negara selain merupakan penghargaan kepada para intelektual negara.

Disediakan oleh :
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204