NILAI, 25 April 2019 – Bersempena Karnival Hari Buku Sedunia, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Perpustakaan USIM membawakan Leftenan Kolonel (B) Mohd Nasarudin Mohd Yusof, seorang tokoh yang terlibat dalam Pertubuhan Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) bagi berkongsi pengalaman beliau dalam sesi perkongsian pengalaman, ‘Program Borak Tokoh’ yang memfokuskan kepada penggiatan budaya Iqra’.

“Tabiat membaca ini perlu diterapkan seawal yang mungkin bermulanya dari rumah kerana apabila disemai budaya membaca ia akan memberi kesan ke arah kecemerlangan diri serta negara,” katanya.

Beliau juga berkata kejayaan seseorang itu bermula dari bahan bacaan kerana apabila setiap individu mencintai buku ia mampu memperkukuh dan meningkatkan pengetahuan yang tinggi dalam diri masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Program, Pn Rozana Kamdani mengharapkan program seperti ini boleh menggiatkan budaya membaca dalam setiap lapisan masyarakat.

Di samping menonjolkan peranan universiti, Perpustakaan USIM sebagai gedung ilmu sentiasa komited menjalankan aktiviti dalam melahirkan masyarakat celik pengetahuan,” ujarnya.

Menariknya, pelbagai aktiviti berlangsung sepanjang minggu bermula 22 April sehingga 26 April antaranya Wacana Biblioterapi Perubatan, Pertandingan Biar Buku Bicara, Pertandingan Berbalas Pantun dan Pertandingan Bijak Eja.

“Pertandingan Bijak Eja merupakan antara program yang mendapat sambutan iaitu seramai 48 penyertaan pelajar sekolah telah diterima merangkumi 16 buah sekolah di sekitar Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya,” ucap Pn Azah Momin, Pemangku Ketua Pustakawan USIM.

Karnival Hari Buku Sedunia diadakan bagi merangsang minat aktiviti membaca serta menyuntik kesedaran budaya membaca dikalangan pelajar dan kakitangan. Selain itu, ia mampu memberikan impak kepada komuniti akademik dalam melestarikan keintelektualan dan kebijaksanaan.

Penganjuran program di peringkat universiti adalah selari dengan slogan #MALAYSIAMEMBACA yang dipilih oleh Dr Mazlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia program seperti ini dapat menyemarakkan lagi dunia pembacaan dan membugarkan pembudayaan membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia seterusnya menyumbang kepada aspirasi pihak kerajaan untuk merealisasikan Dekad Membaca 2030.

Disediakan oleh:
Syazwani Abd Manaf
Pelajar Latihan Industri
Pusat Komunikasi Strategik
Universiti Sains Islam Malaysia