KUALA LUMPUR, 26 Jan 2017 – ENACTUS Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membawa pulang wang tunai RM 10,000 apabila mendapat tempat ketiga bagi “Projek Positive Habit Aspire Transformation” (PHAT) kategori Best Social Entrepreneurship di Entrepreneurial Award (MEA) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (MEA) 2016 bertempat di Hotel Royale Chulan.

PHAT merupakan projek berbentuk keusahawanan dan kesedaran sosial yang dikendalikan oleh 20 orang ahli ENACTUS di bawah penyelarasan Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) untuk membantu golongan sasaran iaitu pelajar USIM, murid sekolah rendah, komuniti Muslim dan peniaga kecil-kecilan.

“Projek ini berperanan membimbing golongan sasaran mengatur semula sistem kewangan mereka dengan efektif. Disamping memperolehi kemahiran tentang pengurusan kewangan, mereka boleh memperbaiki dan meningkatkan mutu proses pengurusan perniagaan mereka,” ujar Siti Norfaza, Pegawai PPKS.

“Selain memberi kesedaran, ia mampu membimbing dan mengajar dalam kaedah pembelajaran pada masa yang sama memantau kelancaran pengurusan kewangan yang cekap hasilnya ia akan memberi pendapatan yang berterusan,” tambahnya.

Pada majlis itu, sebanyak 27 projek keusahawanan sosial dibentangkan melibatkan penyertaan Universiti Awam, Universiti Swasta, Politeknik serta Kolej Komuniti seluruh negara. Kolej Komuniti Kota Marudu, Sabah mendapat tempat pertama manakala tempat kedua dimenangi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204