Pusat Kebudayaan USIM lancar Produk dan Inovasi Seni Berbudaya

NILAI, 3 Mei 2018 – Selari dengan saranan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti bagi memperkasakan keusahawanan pelajar dan staf melalui penghasilan produk seni. Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif lebih proaktif dengan melancarkan Produk dan Inovasi Seni Berbudaya USIM yang berlangsung di Galeri USIM baru-baru ini.

Pelancaran produk seni yang terdiri daripada tiga produk penerbitan iaitu buku Rumah Fikir:  51 Kata-Kata Rangsangfikir yang Menginspirasikan Insan, buku Jendela Bijaksana: Dimana Tradisi Melayu dan Islam Bertemu, Window Into Wisdom: Where the Malay and Islamic Traditions meet, dan Album 7 Taranum.

Ini bertepatan dengan saranan YBhg. Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM yang berhasrat agar pelajar melibatkan diri dalam keusahawanan supaya selari dengan kehendak pasaran kerjaya dan masyarakat. Melalui saranan ini, USIM mengambil peluang untuk melebarkan kreativiti seni melalui beberapa pendekatan strategik dalam memodelkan bentuk keusahawanan seninya.

Bermula tahun 2015, satu model Seni Berbudaya yang merangkumi tiga teras penting iaitu; Seni yang menghubungkan dengan Pencipta, Seni yang menyeimbangkan duniawi dan ukhrawi serta Seni yang memberi manfaat kepada khalayak telah diperkenalkan. Menerusinya, USIM berharap pelajar yang terlibat dapat memainkan peranan sebagai key player untuk meneraju Seni Berbudaya pada masa hadapan, selain dapat melahirkan produk seni yang berkualiti, membawa manfaat dan menepati ciri-ciri patuh syariah.

YBhg Profesor Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor Hal ehwal Pelajar dan Alumni USIM dalam ucapannya berkata, Pusat Kebudayaan turut mencipta sejarah apabila menjadi Pusat Kebudayaan Universiti Awam yang pertama melancarkan medium perniagaan dalam talian yang dikenali sebagai KedaiBudaya.com.

“Ini merupakan alternatif promosi dan jualan produk Seni Berbudaya dengan tujuan masyarakat boleh membeli produk Pusat Kebudayaan USIM dengan lebih mudah dan pantas. Pelanggan boleh layari laman sesawang www.kedaibudaya.com untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang paparan produk dan tatacara pembelian”.

“Bagi merealisasikan  dan melonjak usaha mempromosikan produk-produk tersebut, beberapa karyawan seni tanah air dalam bidang-bidang tertentu turut menyumbang kepakaran dan dilantik sebagai Karyawan Seni USIM iaitu Dato’ Nash (Karyawan Persembahan Seni); Syed Indera Syed Omar (Siso) sebagai karyawan Penulisan Kreatif; Fauzi Marzuki (Karyawan Penciptaan Kreatif); Razin Mestica (Karyawan Inovasi Produk); Ahmad Fedtri Yahya (Karyawan Pengacaraan dan Penyiaran); dan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman (Karyawan Seni Taranum) serta Dr. Irwan Mohd Subri (USIM) sebagai Penasihat Produk Seni yang bertujuan memastikan kesemua produk yang diterbitkan memenuhi kehendak Syariah”, ucap Dato’ Basri yang mewakili Naib Canselor USIM.

Profesor Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan turut meyampaikan watikah perlantikan 17 Ikon Seni Pelajar yang sangat signifikan dalam pembangunan Seni Berbudaya. Ikon Seni USIM merupakan alumni USIM yang pada masa sama turut menyumbang kepada industri dan masyarakat. Penasihat Produk, Karyawan Seni dan Ikon Seni Pelajar akan memfokuskan kepada penyampaian, perkongsian, pengajaran dan pembelajaran keilmuan. Pelantikan ini diharapkan dapat mengimarahkan seni berbudaya atau good cultural art bagi membina ketamadunan masyarakat melalui sesi perkongsian ilmu, syarahan dan wacana ilmu seni budaya yang berupaya mendidik warga USIM sesuai dengan aspirasi Pusat Kebudayaan iaitu Peneraju Seni Berbudaya.

Turut dilancarkan sebuah laman interaktif baharu LeadsTV@USIM yang menggunakan platform YouTube TV dilancarkan bagi menginspirasikan masyarakat melalui pendekatan Seni Berbudaya secara kreatif dan membawa manfaat sejagat. LeadsTV@USIM mengandungi beberapa segmen iaitu Leads Iqra, Leads Budaya, Leads Inovasi dan Leads Komuniti. Episod Pesona Figura yang diperkenalkan, menampilkan beberapa karyawan seni dan tokoh negara serta mereka yang pakar dalam bidang tertentu untuk berkongsi pengalaman dan cetusan idea dalam menginspirasikan masyarakat untuk mencapai sesuatu kejayaan memerlukan usaha dan pengorbanan. Pelancaran LeadsTV@USIM ini juga menjadikan Pusat Kebudayaan USIM satu-satunya Pusat Kebudayaan Universiti Awam yang mempunyai platform seperti ini.

Majlis ini selain bertujuan untuk memperkenalkan produk seni USIM kepada masyarakat, diharap dapat memberi pendedahan kepada pelajar mengenai sumber ilmu keusahawanan yang patuh syariah dalam bidang seni dan sebagai platform perkongsian ilmu bagi meningkatkan penjanaan perbelanjaan yang melibatkan aktiviti pelajar. Langkah kreatif ini diharapkan memberi impak dalam meningkatkan kreativiti dan inovasi produk seni pelajar dan pemikiran job creator selepas tamat pengajian kelak.

Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Tuan Mohd Ajib Ismail Pengarah Jabatan Agama Islam mewakili Mufti Wilayah Persekutuan. Turut hadir sama Pengarah Pusat Kebudayaan USIM Encik Ismail Ahmed.

Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Pusat Kebudayaan USIM
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

2018-05-07T17:14:29+00:00