NILAI, 17 Disember 2018 – Majlis Apresiasi Barakah bertemakan Kelestarian Ekonomi Ummah anjuran Pusat Wakaf dan Zakat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memberi penghargaan kepada 16 penyumbang wakaf dan zakat yang terdiri daripada orang perseorangan, organisasi dan jabatan di USIM.

Prof. Madya Dr. Wan Abdul Fattah Wan Ismail, Pengarah PWZ USIM berkata majlis seperti ini akan dilaksana setiap tahun bagi menghargai penyumbang-penyumbang yang sama-sama bermatlamat membantu kesusahan dan meringankan beban pelajar yang terdiri daripada serta kakitangan USIM yang kurang berkemampuan tidak lupa juga masyarakat setempat yang memerlukan.

Dalam ucapan YBhg Prof Dato Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM, hasrat projek wakaf ini sebahagiannya untuk pembangunan fasiliti, membina Kolej Kediaman dalam kampus untuk menampung semua pelajar tanpa perlu menetap di luar kampus pada masa akan datang juga bagi membantu pelajar asnaf melalui wakaf pendidikan, endowmen dan lain-lain.

“Pada suku kedua tahun 2018 USIM telah menyalurkan bantuan zakat kepada 617 pelajar berjumlah RM575,529.00. Pada suku yang sama juga, sebanyak RM147,900.00 dana zakat disalurkan kepada 16 program dakwah dan seminar manakala hujung tahun ini, agihan bantuan zakat berjumlah RM431,900 disalurkan kepada 529 orang pelajar,” tambahnya lagi.

Pada majlis tersebut, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menerima Anugerah Abdurrahman Ibn Auf sebagai penyumbang wakaf terbesar sebanyak RM 1,500,000.00 manakala Bank Pembangunan Malaysia Berhad menerima Anugerah Utsman Ibn Affan sebagai penyumbang zakat terbesar sebanyak RM 1,000,000.00.

Organisasi lain yang turut menyumbang adalah Permodalan Nasional Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Ambank Islamic, Celcom Mobile, Perumahan Kinrara Berhad, QSR Brands, MBSB Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Zakat Selangor, AAKH Development Sdn Bhd, Alliance Bank Malaysia Berhad, Global Learnext dan Bidadari Exclusive.

Turut berlangsung adalah penyampaian mock-cheque agihan zakat kepada kakitangan berjumlah RM 14,775.00 yang diterima oleh wakil kakitangan, Pengerusi Badan Kebajikan Kakitangan USIM, Encik Muin bin Yahaya seterusnya mock-cheque agihan pelajar asnaf berjumlah RM 431,900.00.

PWZ juga memperkenalkan Duta bagi membantu aktiviti promosi melalui penerbitan bertulis, siaran di media elekronik dan sebagai penceramah/jurucakap pada sesi kempen dalam usaha mempertingkatkan hasil kutipan wakaf dan zakat di PWZ USIM. Mereka adalah Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila dan Dr. Anuar Hasin, Fakulti Syariah dan Undang-undang dan Ustaz Mohd Hariri, Penolong Pengarah, Unit Indeks Syariah Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032