Bandar Baru Nilai, 29 Disember 2010 –  Quran merupakan sumber pertama dalam peradaban manusia khususnya umat Islam. Di dalamnya terkandung kunci dan prinsip ilmu-ilmu turath mahupun kontemporari. Kemukjizatan Quran tidak pernah habis kerana ia bersifat abadi. Sunnah pula sebagai sumber kedua sebagai pentafsir, perinci dan penguat kepada Quran. Kedua-duanya adalah pencetus utama kepada transformasi, ketamadunan dan kemajuan dunia.

Justeru itu, bagi memartabatkan pengajian Quran dan Sunnah dalam arus perdana pendidikan Negara, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Quran, Sunnah dan Sains (SQSS 2010) yang telah dirasmikan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Muda.

Hampir 250 peserta dari pelbagai jabatan dan agensi seperti Jabatan-jabatan Mufti Negeri, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, pensyarah-pensyarah dari institut pengajian tinggi, pelajar-pelajar sekolah tahfiz serta orang persendirian telah menyertai seminar ini.

Pembentang-pembentang kertas kerja pula terdiri dari kalangan yang terhebat dalam lapangan ilmu masing-masing, di Malaysia mahupun di seluruh dunia seperti Harun Yahya dari Turki, Prof. Quraish Shihab dari Indonesia, Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman dan Dr. Mohamad Arif Kosmo dari UKM.

Seminar ini bertujuan memberi maklumat dan kesedaran kepada masyarakat dalam peri pentingnya ilmu Quran dan Sunnah dalam memahami ilmu sains yang sentiasa berkembang ilmunya dari semasa ke semasa. Selain itu ianya bertujuan mencetus inovasi sains melalui teori-teori yang disebut di dalam Quran dan Sunnah.

Turut hadir, Dekan FPQS, Y.Bhg. Dr. Adnan Mohamed Yusoff  dan Ketua Pustakawan USIM, En. Jasmin Jaimon.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah