NILAI, 4 November 2019 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Expo on Talent Recruitment, Graduate Employability and Career Talk (e-TARGET) selama dua hari pada 5 dan 6 November 2019 bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM. Lebih 70 syarikat dan wakil industri menyertai program ini bagi menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang antaranya kewangan, perkhidmatan, peruncitan, telekomunikasi, pembuatan dan lain-lain lagi.

Terbuka kepada orang awam khususnya kelompok sasaran iaitu bakal graduan dan mereka yang telah bergraduasi dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), peneraju utama program ini  Pusat Alumni dan Kerjaya menjangkakan ia dapat menarik 5,000 pengunjung.

Kementerian Pendidikan Malaysia melalui inisiatif di bawah myCareer@MOE menjadi penaja utama kepada penganjuran program ini. Penganjuran e-TARGET oleh USIM relevan dengan situasi semasa mengenai peluang pekerjaan yang terhad dan pengangguran dalam kalangan graduan. Pihak industri yang datang bersama peluang pekerjaan dalam e-TARGET secara tidak langsung turut menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran mahasiswa.

Menurut Pusat Alumni dan Kerjaya, objektif penganjuran program ini adalah untuk menyediakan platform untuk bakal graduan IPT mendapatkan pekerjaan; menawarkan kepelbagaian agensi yang membuka dan menawarkan secara terus peluang pekerjaan kepada graduan dan pelajar; memberi peluang kepada graduan dapat berinteraksi dengan industri dan bakal majikan berpotensi; dan meningkatkan kerjasama agensi dan Universiti dalam membantu kebolehpasaran graduan.

Pengunjung yang ingin hadir ke USIM bagi melihat dan merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan dicadangkan untuk membawa bersama beberapa salinan resume dan dokumen-dokumen sokongan yang berkaitan seperti sijil akademik. Selain temuduga secara terus bersama bakal majikan, pengunjung boleh menyertai program sampingan yang disediakan antaranya Pocket Talk oleh TalentCorp, ceramah Strat Up Entrepreneurs, konsultasi penyediaan resume dan pameran.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan