NILAI, 22 OKT 2016 – Seminar Fiqh Pergigian Nusantara 2016 anjuran Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif dan menzahirkan kepekaan serius dalam isu-isu dan hukum fiqh dalam bidang pergigian dengan memulakan langkah dalam mencuba untuk membolehkan ilmuan-ilmuan agama dan pakar-pakar pergigian membentangkan kertas kerja dan berkongsi ilmu kepada pengamal-pengamal pergigian seluruh negara dan negara serantau yang melibatkan 4 buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei ini diadakan pada 22 & 23 Oktober 2016 bertempat di Wisma Perwira, Angkatan tentera Malaysia, Kuala Lumpur.
Seminar ini merupakan kesinambungan daripada rentetan kejayaan penganjuran Seminar Fiqh Pergigian Peringkat Kebangsaan pada Mei tahun lalu. Selaras dengan visi dan misi Universiti Sains Islam Malaysia untuk mengimbangkan ilmu naqli dan aqli, pihak fakulti pergigian mengambil peluang untuk meneruskan penganjuran seminar ini tetapi dengan skala yang lebih besar, melibatkan negara-negara serantau seperti Indonesia, Brunei dan Singapura. Hasil gabungan ilmu dari pakar-pakar fiqh dan pergigian dalam seminar diharap dapat merungkai pelbagai isu dan masalah pergigian yang berkaitan dengan hukum fiqh.
Seramai lebih kurang 230 peserta terdiri dari pengamal pergigian dan pelajar dari negara serantau dan sebanyak 10 kertas kerja yang dibentangkan dengan menampilkan penceramah-penceramah yang dijemput khas daripada 4 buah negara tersebut yang mempunyai pengalaman meluas dalam bidang fiqh pergigian.
Antara objektif seminar ialah untuk memberi kefahaman dan menghubungkaitkan fiqh dengan isu-isu dalam bidang pergigian kepada pengamal pergigian. Selain itu, seminar ini juga menyediakan platform kepada pengamal dan penyelidik pergigian untuk berkongsi kajian dan idea mereka dalam bidang berkaitan serta berkongsi ilmu dan pengalaman di antara negara serantau.
Prof Dr. Zulkiple Abd Ghani Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dalam ucapan perasmiannya berkata, dalam dunia tiada sempadan kini juga, ilmu dan maklumat boleh diperolehi di hujung jari. Penggunaan meluas media sosial turut membuka peluang kepada sesiapa sahaja memberi pandangan dan mengulas tentang sesuatu isu yang berlaku. Secara positifnya, ilmu kini boleh dicari dengan mudah. Namun begitu, keadaan ini turut mengundang kepada wujudnya sekelompok manusia yang memberi pandangan sewenang-wenangnya serta tidak dihujahi ilmu yang benar. Oleh hal yang demikian, seminar seumpama ini diadakan agar ilmu dan maklumat yang berkaitan dapat diperolehi dari sumber yang tepat.
Manakala menurut Dekan FPg USIM Dr Haslinda Ramli, bidang fiqh merupakan salah satu cabang ilmu naqli yang wajib diketahui dan difahami oleh umat islam. Senambungan dengan itu, Fakulti Pergigian, USIM bersedia menggalas tanggungjawab dan menjadikan seminar fiqh pergigian, sebagai satu program tahunan, dan sebagai platform untuk semua yang terlibat dalam bidang pergigian termasuk pakar-pakar & pengamal pergigian, pelajar dan ahli akademik, bersama pakar-pakar fiqh, untuk mendalami ilmu fiqh dan merungkai persoalan/kemusykilan dalam memberikan rawatan kepada pesakit.
“Seminar Fiqh Pergigian Nusantara 2016 ini merupakan kesinambungan kepada Seminar Fiqh Pergigian peringkat kebangsaan yang telah dijalankan pada tahun lalu. Jika penganjuran sebelum ini adalah lebih kepada pengenalan konsep fiqh secara umum, seminar pada kali ini adalah lebih spesifik kepada perbincangan mengikut bidang bidang pergigian yang khusus melalui perbincangan kes-kes tertentu”.
“Diharapkan, peserta mendapat pemahaman yang lebih jelas, tentang panduan dalam penetapan hukum fiqah dan boleh mengaplikasikan dalam rawatan pergigian bagi membantu pesakit. Saya juga berharap melalui seminar ini kita boleh mengambil peluang untuk kita membina jaringan untuk kerjasama akan datang. Insyaallah, jika diberikanNYA masa dan ruang, penganjuran seminar fiqh pergigian akan diteruskan pada masa akan datang dengan membincangkan kes-kes yang lain”, jelas Dr Haslinda lagi.
Seminar turut mempamerkan booth alatan perubatan serta pameran oleh Fakulti Pergigian USIM.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204