KUALA LUMPUR, 23 oKTOBER 2016 – Seminar Fiqh Pergigian Nusantara 2016  anjuran Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif dan menzahirkan kepekaan serius dalam isu-isu dan hukum fiqh dalam bidang pergigian dengan memulakan langkah dalam mencuba untuk membolehkan ilmuan-ilmuan agama dan pakar-pakar pergigian membentangkan kertas kerja dan berkongsi ilmu kepada pengamal-pengamal pergigian seluruh negara dan negara serantau yang melibatkan 4 buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei ini diadakan pada 22 & 23 Oktober 2016 bertempat di Wisma Perwira, Angkatan tentera Malaysia, Kuala Lumpur.

Seramai lebih kurang 230 peserta terdiri dari pengamal pergigian dan pelajar dari negara serantau dan sebanyak 10 kertas kerja yang dibentangkan dengan menampilkan penceramah-penceramah yang dijemput khas daripada 4 buah negara tersebut yang mempunyai pengalaman meluas dalam bidang fiqh pergigian.

Antara objektif seminar ialah untuk memberi kefahaman dan menghubungkaitkan fiqh dengan isu-isu dalam bidang pergigian kepada pengamal pergigian. Selain itu, seminar ini juga menyediakan platform kepada pengamal dan penyelidik pergigian untuk berkongsi kajian dan idea mereka dalam bidang berkaitan serta berkongsi ilmu dan pengalaman di antara negara serantau.

“Seminar Fiqh Pergigian Nusantara 2016 ini merupakan kesinambungan kepada Seminar Fiqh Pergigian peringkat kebangsaan yang telah dijalankan pada tahun lalu. Jika penganjuran sebelum ini adalah lebih kepada pengenalan konsep fiqh secara umum, seminar pada kali ini adalah lebih spesifik kepada perbincangan mengikut bidang bidang pergigian yang khusus melalui perbincangan kes-kes tertentu,” ujar Dekan FPg, Dr Haslinda Ramli.

“Diharapkan, peserta mendapat pemahaman yang lebih jelas, tentang panduan dalam penetapan hukum fiqah dan boleh mengaplikasikan dalam rawatan pergigian bagi membantu pesakit.  Saya juga berharap melalui seminar ini kita boleh mengambil peluang untuk kita membina jaringan untuk kerjasama akan datang. Insyaallah, jika diberikanNYA masa dan ruang, penganjuran seminar fiqh pergigian akan diteruskan pada masa akan datang dengan membincangkan kes-kes yang lain”, jelas Dr Haslinda lagi.

Seminar turut mempamerkan booth alatan perubatan serta pameran oleh Fakulti Pergigian USIM.

Oleh : Noorumaina Mohamed Yunus