NILAI, 25 OKT – Bertemakan Perekayasaan Perkongsian Pintar Ke Arah Kecemerlangan Perpustakaan Islam, satu Seminar Perpustakaan Islam Serantau atau dikenali sebagai Regional Islamic Libraries Seminar 2016 (RELieS 2016) telah dianjurkan oleh Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 28 dan 29 September 2016 lalu.

Penganjuran ini dilihat sebagai landasan terbaik bagi para peserta yang terdiri daripada pustakawan, ahli akademik, pakar agama dari beberapa negara antaranya Indonesia, Brunei dan Libya membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi Perpustakaan Islam serantau masa kini.

Sebanyak sepuluh kertas kerja telah dibentangkan dan dua ucap tama telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, YBhg. Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan YBhg. Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud yang merupakan Pengarah di Center for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

“Seminar ini memberikan ruang bagi para pengamal bidang kepustakawanan untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan mewujudkan rangkaian dalam bidang sumber dan perkhidmatan maklumat di perpustakaan-perpustakaan Islam serantau. Kita mengambil inisiatif akan bekerjasama mewujudkan perpustakaan digital bagi koleksi Islam seperti al-Quran, ilmu Hadis, sejarah dan lain-lain hasil daripada waqaf masyarakat.,” ujar Timbalan Ketua Pustakawan Kanan USIM, Pn Nor Azzah Momin.

“Disamping itu, ia diharapkan dapat memperkasa sumber manusia dalam mengendalikan operasi Perpustakaan Islam dengan adanya pustakawan yang berperanan sebagai ‘Knowledge Interlocutor’ dan konsep menyelidik (‘research-based librarian’) dalam membantu penyelidik menjalankan penyelidikan di universiti,” ucap Ketua Pustakawan USIM, En Jasmin Jaimon.

Perasmian seminar telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Abd Rasid Mohd Fadzil, Bendahari USIM, mewakili Dato’ Musa Ahmad, Naib Canselor USIM.

Disediakan oleh :

Nor Azzah Momin

Timbalan Ketua Pustakawan Kanan USIM

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204