NILAI, 1 Mac 2019 – Baru-baru ini, viral kecaman daripada netizen terhadap seorang warga emas berumur 68 tahun kerana telah memuat naik karikatur Nabi SAW dan isteri baginda, Aisyah R.A di laman facebook. Perlakuan yang dilakukan ini telah mencetus kemarahan umat Islam kerana telah menghina junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan tidak menghormati agama Islam tersebut.

Rentetan daripada itu, himpunan bantahan penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W diadakan bertempat di ruang hadapan Kompleks Islam Tuanku Muhriz Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menunjukkan solidariti warga USIM dan masyarakat sekeliling bagi isu berkenaan.

Gelombang kepada himpunan ini telah bermula di setiap fakulti dan kolej kediaman melalui aktiviti Speaker Corner, Kafe Ilmu, tazkirah fakulti dan juga kuliah maghrib dengan menyelaraskan tajuk perbincangan bagi aktiviti-aktiviti ini. Akhirnya, gelombang ini membawa kepada Himpunan bantahan penghinaan terhadap Rasulullah SAW yang bermula dengan penerangan secara ringkas kepada warga USIM dan masyarakat yang turut serta pada waktu tersebut.

Antara petikan ucapan pada himpunan tersebut ialah daripada Exco Pembangunan Sahsiah dan Kerohanian Majlis Perwakilan Pelajar USIM, Akif bin Salman, 22, berkata “Andai kata di akhirat kelak, Allah tanya kepada kita: Nabimu dihina ketika hayatmu, apa tindakan kita? Tepuk dada tanya iman”.

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Akidah dan Agama itu berharap agar kesatuan yang dibina antara badan-badan pelajar dalam menjayakan himpunan ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar misi menyampaikan mesej-mesej kebaikan kepada seluruh warga USIM khususnya dapat dilaksanakan dengan lebih meluas.

Selain itu, wakil mahasiswa yang terdiri daripada saudara Abdul Hadi B Hasni, Presiden SPMM; Muhammad Faiz B Yasod, Presiden SPI dan Muhammad Amin Annursi bin Mohd Jaafar, Presiden SY turut memberikan ucapan serta diakhiri dengan selawat jamaie bagi menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.

Himpunan ini adalah hasil kerjasama daripada pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM), Sekretariat Pusat Islam (SPI), Sahabat Yadim (SY) serta beberapa pihak lain yang terlibat.

Disediakan oleh:
Siti Nur Syuhada’ binti Ismail
Exco Pembangunan Sahsiah & Kerohanian
Majlis Perwakilan Pelajar
Sesi 2018/2019