NILAI, 17 Julai 2019- Kira-kira seramai 300 tetamu yang hadir ke Majlis Syarahan Perdana Profesor yang disampaikan oleh Profesor Dato Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM di Dewan Senat Canselori bertajuk ” Sensor Kimia Optik: Pendekatan Praktikal Dalam Analisis Kimia”.

Profesor Dato Dr Musa Ahmad merupakan Presiden Pengasas untuk Persatuan Pembangunan Teknologi Sensor Malaysia (SENSOR), dan kini beliau adalah Penasihat untuk persatuan yang sama. Beliau juga merupakan Felo Akademik Sains Malaysia (FASc) dan Felo Institut Kimia Malaysia (IKM). Selain itu, beliau juga turut dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Dalam syarahan tersebut,  sensor kimia merupakan peranti kecil yang mampu menukarkan informasi kimia dalam analit kepada isyarat elektronik yang boleh diukur. Pada awal penerokaan penyelidikan sensor kimia, kaedah yang digunakan untuk menganalisis spesies kimia ialah dengan mencerap tindak balas yang berlaku dalam larutan. Pemabikan atau pembaikan? kepada sensor kimia dilakukan dengan memegunkan reagen kimia pada transduser dan tindak balas pada permukaan elektrod boleh dicerap.

Sensor kimia optik adalah berdasarkan kepada pengukuran cahaya yang diserap atau dipancarkan sebagai hasil tindak balas antara reagen terpegun dengan analit. Dalam sensor optik, cahaya akan dipandu menggunakan gantian optik kepada alat pengesan foto yang akan mengesan perubahan keamatan serapan atau pantulan pada panjang gelombang tertentu. Kaedah optik telah memberikan kesan yang sangat besar kepada teknologi sensor kimia pada masa kini dan mempunyai banyak kelebihan berbanding kaedah lain kerana ia melibatkan penggunaan sumber cahaya yang murah dan mudah diperoleh. Sehingga kini penyelidikan sensor kimia masih aktif dijalankan dan turut melibatkan perkembangan teknologi terkini dalam bidang elektronik, bioteknologi, teknologi nano,bahan termaju dan fizik.

Menurut beliau, penggunaan bahan termaju seperti cip mikro, partikel-nano, biobahan dalam pembinaan sensor kimia optik telah memberikan sumbangan yang penting seperti peningkatan kepekaan dan kepilihan, penggunaan bahan dalam kuantiti nano dan prosedur analisis yang mudah.

Katanya lagi, gabungan teknologi kecerdasan buatan (Artifical Intelligence, AI) seperti Jaringan Neutral Tiruan (JNT) dengan sensor kimia optik turut membenarkan pemprosesan maklumat dan data dilakukan agar pengukuran kepekatan pelbagai analit secara serentak dan pemanjangan julat dinamik dapat dilakukan. Syarahan ini akan membincangkan dapatan penyelidikan  dalam bentuk beberapa produk sensor kimia optik yang telah dibangunkan untuk tempoh penyelidikan selama lebih tiga dekad.

“Antara produk sensor kimia optik yang menarik yang telah dibangunkan adalah sensor kimia untuk pengesanan analit seperti kapsaisin (kepedasan), fenol, formaldehid (pengawet makanan laut), hidrokuinon (pemutih kulit), ion Al (III), akrilamida (karsinogen dalam makanan gorengan), ion ammonium, rodamin (pewarna belacan), glutamat (perisa makanan) dan permeatrin (pengawet kayu),” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Ybhg. Prof Dato Dr Siddiq Fadzil, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Abdul Rahim Ab Rahman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato Dr Roshada Hashim dan Prof Emeritus Dato Dr Nik Mohd Nasri Nik Ismail, Pengarah Pejabat Penyelidikan Pembangunan Kompleks Kesihatan USIM.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan