NILAI, 11 Mac 2019 – Syarahan Umum bertajuk ’Belia dan Kelestarian Alam’ disampaikan oleh Dato’ Seri Prof. Dr. Ir. Zaini bin Ujang merupakan anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah diadakan di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Quran dan Sunnah (FPQS).

Syarahan ini diadakan bertujuan menyalurkan serta meluaskan cakerawala tanggungjawab belia bahawa mereka mempunyai peranan dan tanggungjawab moral dalam memelihara kelestarian alam sekitar. Belia bukan sekadar mempunyai peranan pasif sebagai rakan pentadbir dunia untuk memastikan kehidupan yang baik kepada manusia, namun turut berperanan aktif memakmurkan dan memastikan kelestariannya dapat dikekalkan untuk generasi mendatang.

Puan Azzah Mokmin, Pemangku Ketua Pustakawan USIM mewakili Dato Naib Canselor dalam ucapannya berkata,  program sebegini adalah merupakan inisiatif USIM bagi menjadikan USIM sebagai universiti untuk masyarakat dimana program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara komuniti belia dan warga USIM di samping mengukuhkan agenda integrasi Naqli dan Aqli dengan masyarakat umum khususnya Majlis Belia Malaysia sebagai wadah rasmi gerakan belia di Malaysia.

Ilmu adalah alat terbesar untuk memandu tindakan manusia. Maka, membudayakan syarahan ilmu terhadap golongan belia diharap dapat mempertingkatkan intelektualisme mereka selain memberi kefahaman supaya golongan belia memahami tanggungjawab memelihara kelestarian alam bagi menghadapi cabaran di Zaman Revolusi Industri 4.0 yang serba mencabar ini.

Turut hadir sama Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Encik Jufitri Joha.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032