Beijing – Seramai 17 orang mahasiswa/i mantan exco Nadi Thaqafah Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merasai dan menimba pengalaman berharga bersama masyarakat Islam di Beijing yang turut disertai 2 orang staf pentadbiran dan 1 orang pensyarah merangkap Pegawai Pengiring dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama dalam program Global Islamic Students Outreach (GISO) 2013 ke China.

Program enam hari ini yang bermula 15 hingga 20 November 2013 lalu merupakan salah satu daripada program di bawah Global Islamic Student Outreach (GISO) yang mendapat peruntukan dana khas dari universiti. Pemilihan Beijing yang merupakan minoriti penduduknya beragama Islam menarik para peserta untuk bersama-sama merasai sedikit sebanyak cara hidup mereka dalam menempuh suasana dan tempat yang majoritinya bukan Islam selain mendapat pengalaman mempelajari bahasa, juadah makanan dan budaya masyarakat di Beijing.

Sepanjang berada di sana, pelbagai pengisian aktiviti libatsama masyarakat antaranya gotong-royong, suai kenal dengan ahli jemaah dan penyampaian sumbangan-sumbangan berbentuk cenderamata dan wang kepada Masjid Nan Dou Ya, Masjid Niu Jie, pusat pengajian al-Quran Tong Zhe Mei Wai dan tempat-tempat lain. Di samping itu juga, sewaktu berada di Beijing Foreign Studies University (BFSU), peserta GISO sempat mengadakan perkongsian ilmu dan maklumat universiti masing-masing dan sesi suai kenal bersama beberapa orang pensyarah dan pelajar Pusat Pengajian Melayu di universiti tersebut.

Salah seorang pensyarah Pusat Pengajian Melayu di universiti tersebut adalah rakyat Malaysia. Beliau adalah Prof Dr. Mohd Taib Hj. Dora yang merupakan Penyandang Kursi Pengajian Melayu di BFSU. “Bahasa Melayu adalah bahasa keempat digunakan dalam kalangan masyarakat Beijing dan seramai 400 orang pelajar Malaysia sedang menetap di sini bagi melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang khususnya Bahasa Mandarin. Tidak menjadi hairan jika peniaga-peniaga di kompleks membeli belah sekitar Beijing sekiranya mereka mampu untuk bertutur dalam Bahasa Melayu,” ucapnya.

“Peserta juga dapat berkongsi tips-tips dalam menguasai bahasa asing bersama pelajar-pelajar Pusat Pengajian Melayu. Semua pelajar kelahiran China yang belajar Bahasa Melayu ini diberikan nama melayu seperti Farid, Fatimah dan Ali”. Tambahnya lagi, kamus menjadi teman pelajar-pelajar ini di mana sahaja mereka berada di samping sentiasa bertanyakan guru apabila menghapi masalah dalam pelajaran khususnya berkenaan dengan perkataan-perkataan baru. Buktinya mereka mampu menguasai Bahasa Melayu dengan baik lebih kurang dalam tempoh 2 tahun sahaja.

Peserta juga dibawa ke tempat-tempat lain seperti ‘Free Foot Massage’ di Chinese Medical Center, Yin Peng Silk Shop, Jewellery Shop (Pearl) sebagai tempat lawatan tambahan di samping menimba pengalaman dan menambah maklumat-maklumat dan juga ilmu yang berguna.

Program ini diakhiri dengan libatsama masyarakat di sekitar Tembok Besar China di mana peserta mengedarkan risalah-risalah berkaitan USIM. Rata-rata pengunjung asing senang dan ceria dengan kehadiran mereka ditambah lagi dengan persembahaan Qasidah daripada kumpulan Busyra Lana. Sewaktu berada di sana, peserta terpegun dengan keindahan dan ciptaan Allah yang menciptakan kejadian alam ini.

Apa yang diharapkan melalui program Global Islamic Student Outreach (GISO) adalah peserta bukan sahaja dapat menjalin ukhwah sesama insan dan namun yang paling utama mendekatkan diri dengan Maha Pencipta serta membudayakan konsep ilmu Naqli dan Aqli di peringkat antarabangsa.

Disediakan oleh:

Aiman Sha’ari

Pengarah Program Kembara GISO Ke China

Disunting oleh:

Dr. Mohammad Najib Jaffar

Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar & Pengurusan Prestasi FPBU

Dikemaskini oleh :

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)