KUALA LUMPUR, 7 Nov – PECIPTA adalah singkatan PERSIDANGAN DAN ESKPO CIPTAAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI ANTARABANGSA.  Ekspo ini berlangsung selama 3 hari dari 7-9 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).  Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Idris Bin Jusoh Menteri Pendidikan 2.

Seiring dengan tema ‘Mentransformasikan Penyelidikan dan Inovasi ke Arah Pengkomersialan’, PECIPTA 2013 mempamerkan hasil ciptaan dan inovasi yang dihasilkan oleh IPT awam dan swasta di Malaysia dan Luar Negara.  Disamping itu, ia memberi peluang kepada mereka membentuk jalinan kolaborasi dan usahasama bagi membangunkan bersama prototaip dan seterusnya mengkormersialkan hasil Research & Development (R&D) ini. PECIPTA yang merupakan program dwi tahunan pada tahun ini mengetengahkan sebanyak 490 buah produk berbanding 468 produk sahaja pada tahun 2011. Buat kali pertamanya PECIPTA 2013 berjaya menarik penyertaan antarabangsa dari 7 buah Negara iaitu Taiwan, Korea, Turki, Mesir, Indonesia, Thailand dan Qatar.

Objektif utama penganjurannya adalah bagi menyokong matlamat dan aspirasi kerajaan Malaysia dalam menerajui pembangunan negara melalui penekanan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains dan teknologi. Selain itu, ia dapat meningkatkan keyakinan sektor industri tempatan dan rakan-rakan di luar negara yang berpotensi mengenai kumpulan kepakaran penyelidikan yang terdapat di IPT dengan menggunakan eskpo ini sebagai platform untuk membawa kedua-dua pihak bersama-sama membangunkan aktiviti hiliran ke arah penubuhan sebuah negara maju.

Pada tahun ini, USIM mempertandingkan 12 buah produk inovasi yang mampu bersaing dengan Institusi Pengajian Tinggi lain.  Kesemua produk inovasi ini telah berjaya meraih 1  Emas, 6 Perak dan 5 Gangsa.  Dr Madihah dari Fakulti Sains dan Teknologi telah memenangi pingat emas dan menerima Anugerah Khas World Invention Intellectual Property Association (WIIPA) dengan menampilkan inovasi teknologi yang diberi nama eZSiber.  eZSiber adalah perisian komprehensif dan efisien bagi menangani serangan cecacing komputer. Ia tidak memerlukan pengemaskinian pangkalan data secara atas talian, dan sistem tindakbalas cecacing direka khas berdasarkan konsep sistem imunologi manusia yang dikenali sebagai apoptosis. Konsep apoptosis ini telah ditransformasi dalam bentuk keselamatan rangkaian komputer bagi menghalang penyebaran cecacing di dalam rangkaian komputer.  eZSiber mendapat sokongan geran penyelidikan dalam USIM dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Kejayaan eZSiber adalah hasil kejayaan peciptaan inovasi penyelidik dengan sokongan padu daripada pihak Pengurusan Tertinggi USIM.

YBhg Dato’ Prof Dr Morshidi Bin Sirat, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia dalam ucapannya berkata, “Beliau berharap dengan adanya PECIPTA ini akan ada synergy antara universiti pendidikan dan terjalin  kerjasama universiti dengan industri, malah pihak Kementerian akan memantau perkembangan dari semasa ke semasa”.

Manakala YB Dato’ Seri Idris Jusoh pula berkata, “R&D mampu melonjakkan nama Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi berasaskan ilmu pengetahuan, inovasi dan kreativiti menjelang tahun 2020 nanti”.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus
Penolong Pegawai Media StraComm