NILAI- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) melancarkan makmal analisis halal Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM) melalui kerjasama dalam bidang bioteknologi dengan usaha memacu indusri halal negara.

Pelancaran yang diadakan sempena majlis rangkaian BioNexus Program (BNP) yang ke-3, dirasmikan oleh Y.Bhg. Profesor Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Hj. Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia. Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda dan Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Dato’ Dr. Mohd Nazlee Kamal.

Naib Canselor USIM dalam kenyataannya berkata, penubuhan makmal tersebut dilaksanakan adalah bertujuan bagi memastikan universiti sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan industri halal yang dilihat semakin penting dalam menjamin status halal sesebuah produk.

“Makmal tersebut menawarkan perkhidmatan analisis produk halal serta menekankan konsep halal melalui latihan umum dan praktikal berkenaan pemilihan produk makanan, kosmetik, farmaseutikal dan lain-lain produk yang menjadi barangan keperluan seharian seorang Muslim,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Dato’ Dr. Mohd Nazlee Kamal berkata, industri bioteknologi terbabit berperanan sebagai pemangkin nilai tambah kepada tiga sektor utama iaitu pertanian, perubatan dan perindustrian.

“Negara kita turut berpotensi untuk menjadi hab halal serantau bagi pusat promosi dan pengeluaran, makanan halal, produk selain makanan serta perkhidmatan-perkhidmatan lain,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama dengan USIM adalah bertepatan kerana ia merupakan pusat kecemerlangan universiti yang berperanan meningkatkan penjanaan kualiti ilmu, perkhidmatan, peralatan dan kemudahan.

“Penghargaan harus diberikan kepada USIM dalam usahanya membangunkan salah satu makmal analisis halal di Malaysia serta universiti tersebut sedang mengorak langkah ke arah penyediaan prasarana yang lengkap agar terus berperanan menjadi sebuah pusat yang mendokong pembangunan industri halal negara,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Profesor Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Hj. Husin berkata, IHRAM bukan hanya bergerak sebagai sebuah pusat ilmu terpilih, bahkan ia turut mengangkat industri halal dan sekaligus meletakkannya sebagai peneroka dalam bidang penyelidikan halal serta dalam masa yang sama turut menyumbang dalam melahirkan modal insan.