PUTRAJAYA – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku urus setia Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) menandatangani tiga perjanjian penyelidikan dan kerjasama dalam isu kefatwaan  bagi menyelesaikan isu-isu yang melibatkan hukum hakam di Negara ini dan juga diperingkat global.

Tiga perjanjian penyelidikan yang juga merupakan projek rintis tersebut ialah; Tahap Keterlibatan, Kepercayaan dan Amalan Masyarakat Islam Terhadap Perkara-perkara Khurafat Serta Cadangan Penyelesaiannya: Kajian di Pulau Besar, Melaka; Kajian Mengenai Mem’Bin/Ti’kan Anak Tak Sah Taraf Menurut Perspektif Syarak, Undang-Undang dan Sosial dan Pengurusan Pengagihan Zakat di Malaysia: Kedudukan Non-Muslim sebagai penerima zakat dan garispanduan pemindahan dana zakat.

Majlis menandatangani perjanjian penyelidikan tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Hajah Musatafa Mohd Hanefah, Dekan Penyelidikan dan Inovasi dan YBhg Pendaftar USIM, En. Muhammad Haizuan Rozali serta wakil dari pihak JAKIM.

Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Tuan Hj. Razali bin Hj. Shahabudin berkata, Jawatankuasa Fatwa MKI perlu mengembling sepenuhnya khidmat pakar-pakar dalam pelbagai bidang profesional bagi menyelesaikan isu-isu yang melibatkan hukum hakam dan isu-isu yang bersifat saintifik yang memerlukan penyelidikan supaya fakta dan keputusan yang dihasilkan lebih mantap.

Pada 5 Julai 2011 yang lalu, YAB Perdana Menteri semasa pertemuan dengan Jawatankuasa Fatwa MKI telah bersetuju meluluskan dana khas kepada jawatankuasa ini bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti penyelidikan khususnya bagi isu-isu yang memerlukan fatwa.

“Tujuan utama peruntukan dana khas ini adalah bagi melaksanakan penyelidikan merangkumi bidang sains dan perubatan, ekonomi dan kewangan, farmaseutikal dan lain-lain lagi” Ujar Tuan Hj. Razali ketika menyampaikan ucapan mewakili Ketua Pengarah JAKIM pada majlis tersebut.

“Melalui dana yang diwujudkan, bidang-bidang tujahan dan tempoh masa serta kos/geran penyelidkan dapat ditentukan secara spesifik supaya hasil penyelidikan yang dilaksanakan oleh pakar-pakar berkenaan dapat dibentangkan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI untuk penentuan hukum sebagai panduan kepada seluruh umat Islam” tambah beliau lagi.

Turut menandatangani perjanjian yang sama pada majlis tersebut adalah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa