NILAI, 25 Jun 2019 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini sedang dalam merangka untuk menandatangani Memorandum Persefahaman bagi menjayakan projek K4C (Knowledge for Change) iaitu sebuah konsortium antarabangsa untuk Penyelidikan Berasaskan Komuniti (Community-based Research).

Projek ini juga akan mendapat kerjasama dari pertubuhan masyarakat yang berkaitan iaitu Lembaga Perbadanan Kampong Bharu atau Malay Agricultural Settlement (M.A.S) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam sekitar Julai ini.

Menurut Prof. Madya Dr Mahazan Abd Mutalib, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi selaku wakil USIM untuk projek K4C ini berkata, konsortium K4C ini bertujuan untuk membangunkan kapasiti sesebuah institusi dan masyarakat menerusi Program Latihan Mentor (MTP) dan aktiviti Penyelidikan  bersama komuniti.

“Projek ini akan memastikan masyarakat tersebut pandai dan mahir dalam kurikulum pembelajaran yang dibentuk. Ini kerana hasil utama MTP adalah untuk memberi pengetahuan kepada masyarakat, membasmi kemiskinan, mengurangkan ketidaksamaan sosial dan ekonomi dan sekaligus menggalakkan kemakmuran dan kesejahteraan semua,” katanya ketika mengadakan mesyuarat pertama kali bersama semua ahli terlibat.

Ini sekaligus menunjukkan USIM sedang ke arah untuk merealisasikan hasrat Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik yang ingin menjadikan Universiti sebagai platform untuk menggalakkan penglibatan bersama komuniti setempat bagi menyampaikan ilmu dan kemahiran menerusi penyelidikan di Universiti, katanya lagi.

Manakala, Hj Shamsuri Suradi yang merupakan Setiausaha Kehormat M.A.S mengulas bahawa jika projek ini dijalankan ia akan memberi banyak manfaat kepada penduduk Kg Bharu kerana penduduk di sini berpeluang untuk mempelajari ilmu baharu dengan kepelbagaian teknik pengajaran.

“Apa yang saya bakal lihat nanti adalah penduduk di sini akan berpeluang untuk menikmati pendidikan walaupun bukan di Universiti atau pendidikan secara formal kerana pada akhirnya ilmu yang mereka dapat dari program ini membantu mereka mengubah gaya hidup yang lebih baik,” katanya.

Saya sangat terharu dan mengalu-alukan apabila pihak USIM berhasrat untuk memilih penduduk di Kg Bharu sebagai responden dalam program K4C ini, katanya lagi.

Diperingkat UNESCO, Projek ini akan diketuai oleh Prof. Dr Budd Hall dari Universiti of Victoria, Canada dan Dr Rajesh Tandon dari Akademi Antarabangsa PRIA, India.

Disediakan oleh:
Dr Fauziah Hasan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan