Nilai– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diberi kepercayaan untuk mengetuai penubuhan konsortium kerjasama Institusi Pengajian Tinggi Islam antara tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Kepercayaan itu diberikan kepada USIM hasil perbincangan meja bulat di antara 30 wakil ketua jabatan Pengajian Islam seluruh IPTA/S di Malaysia, Universiti Islam Sultan  Sharif Ali (UNISSA) Brunei dan Institut Studi Islam Darussalam (ISID) Indonesia yang berlangsung sempena Seminar Serantau Institusi Pengajian Tinggi Islam (SeIPTI) 2012 di Dewan Senat USIM.

Menurut Naib Canselor USIM, YBhg Profesor Dr. Asma Ismail, penubuhan konsortium ini amat penting demi membangunkan institusi pengajian Islam sekaligus ke arah menjadikan pengajian Islam satu bidang profesional.

“Selain mengadakan penerbitan, penyelidikan dan program sangkutan ahli akademik, penubuhan konsortium ini akan menjadi satu penanda aras dalam mengangkat institusi pengajian tinggi Islam dan saya percaya jalinan antara UNISSA dan ISID dapat memperluaskan dan mengangkat penubuhan konsortium ini ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika mempengerusikan perbincangan meja bulat tersebut.

Beliau berkata bahawa kertas cadangan penubuhan ini perlu diusulkan ke Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia selewat-lewatnya pada Februari tahun hadapan.

Sementara itu, Pengarah SeIPTI 2012, YBhg Profesor Dr. Zulkiple Abd Ghani pula berkata, seminar SeIPTI kali ini bukan sahaja berjaya mengumpulkan ahli akademik di peringkat serantau malah idea yang dicetuskan oleh YBhg Naib Canselor untuk menubuhkan konsortium merupakan cadangan bernas yang akan menjamin hubungan erat tiga negara akan terus terjalin.

“Saya pasti bahawa penubuhan konsortium ini akan berperanan mengangkat imej Institusi Pengajian Tinggi Islam di mata dunia sekaligus menjadikan bidang Pengajian Islam ini adalah penting dan diiktiraf seluruh dunia terutama dalam bidang halal, sistem kewangan Islam, pengkomersilan, kajian, percambahan ilmu dan sebagainya.

Hadir sama dalam perbincangan tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Anak Dr Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail (Timbalan Rektor, UNISSA), Profesor Dr. Amal Fathullah Zarkasy (Timbalan Rektor, ISID), Dr. Hamid Fahmy Zarkasyi (Timbalan Rektor, ISID) dan Dr Abang Hadzmin Abang Taha (Dekan Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, UNISSA).

SeIPTI 2012 merupakan seminar dua hari yang diadakan di USIM dengan kerjasama UNISSA dan ISID yang bertujuan untuk menjadi satu medan pertemuan yang tepat dalam merealisasikan matlamat kesepaduan idea dan perbincangan ilmiah di antara institusi pengajian tinggi Islam serantau yang mencakupi negara-negara serantau di Asia Tenggara ini dalam memperkasa hala tuju dan matlamatnya.

Seminar yang dirasmikan oleh YB. Dato’ Seri Dr. Abdullah Bin Md. Zin, Penasihat Agama Kepada YAB Perdana Menteri ini telah dihadiri seramai 250 peserta dan sebanyak 72 kertas kerja dalam pelbagai bidang telah berjaya dibentangkan.