NILAI, 16 Ogos 2018 – Majlis pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat USIM 2018 meriah dengan sambutan kehadiran yang memenuhi Dewan Kuliah Pusat 3 pada 16 Ogos 2018. Majlis dirasmikan oleh Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Musa Ahmad.

Pada majlis tersebut turut menampilkan dua ikon Negara dalam slot perkongsian pengalaman bersama Angkasawan Malaysia Pertama Dato Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie dan Pendaki Gunung Everest Wanita Termuda Malaysia Siti Hanisah Sharudin.

Tema tahun ini adalah ”Sayangi Malaysiaku” menunjukkan betapa pentingnya rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama hidup dalam harmoni, seia sekata, bersatu padu dan kasih kepada negara.

”Sayangi Malaysiaku” adalah simbol rakyat melakukan gerakan riang mengangkat tangan, dengan satu bentuk hati di hadapan menyatukan mereka. Selain menyemarak semangat patriotik yang turut memperluas dan memperkukuh semangat kekitaan, ”Sayangi Malaysiaku” juga seiring dengn semangat perpaduan yang merupakan tonggak kepada integrasi rakyat Malaysia.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dalam ucapan aluannya berkata sewajarnyalah kita, sebagai warganegara yang taat dan setia kepada tanah tumpah darah kita ini menzahirkan kesyukuran yang amat sangat di atas nikmat kemerdekaan yang telah kita kecapi dan warisi ini. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama mempertahankan kedaulatan, keamanan dan kemerdekaan yang kita kecapi ini daripada sebarang anasir luar mahupun dalaman yang cuba memecah belahkan perpaduan antara kita semua.

”Setiap kali kita menyambut bulan kebangsaan, kita tidak dapat lari daripada menyentuh tentang erti kemerdekaan. Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang dicapai pada 31 Ogos 1957 dan seterusnya penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 adalah satu nikmat yang tidak ternilai harganya buat seluruh rakyat Malaysia terutamanya generasi masa kini”, tambah Dato Hassan lagi.

Sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan ini, akan diadakan beberapa program lagi seperti Bicara Bulan Kebangsaan, Pertandingan Ekspresi Merdeka dan Ceria Merdeka @PTj, Bacaan Puisi Kebangsaan, Khutbah Jumaat Edisi Bulan Kebangsaan, Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat, Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan dan Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan.

Turut hadir sama memeriahkan majlis, pelajar-pelajar Sekolah Angkat dan Sekolah Kluster di bawah USIM yang berada di sekitar Negeri Sembilan. Antaranya Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAP Labu), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said, Sekolah Kebangsaan Dato’ Ahmad Manaf, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail dan Sekolah Menengah Agama Nilai.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032