NILAI, 23 Mei 2019- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memainkan peranan sebagai sebuah IPTA yang menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat melalui kumpulan penyelidikannya iaitu Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) di bawah Institut Sains Islam (ISI) USIM yang berkerjasama dengan dua buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Nilai (PPDK Nilai) dan Persatuan Insan Istimewa Jempol di dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertempat di Executive Lounge, Bangunan Canselori USIM.

Jaringan kerjasama USIM dan rakan industri ini akan menyumbang ke arah penambahbaikan dan pembaharuan kepada kedua belah pihak demi kepentingan bersama khususnya dalam aktiviti kesukarelawanan dan khidmat OKU.

Melalui usahasama ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam memberi latihan dan pengalaman kepada mahasiswa USIM amnya untuk merealisasikan hasrat USIM sebagai Kampus Barakah dan mendokong hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menjadikan universiti untuk komuniti.

Menurut Naib Canselor USIM Prof Dato Dr Musa Ahmad, USIM kini sedang berusaha untuk menggerakkan dan mengaktifkan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam dan luar negara agar perkongsian kepakaran yang sedia ada mampu digerakkan seterusnya menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang dan memiliki sikap positif terhadap kekuatan dan kelainan komuniti OKU

”Hasrat untuk mengadakan kerjasama ini merupakan hasil daripada perbincangan awal antara pihak Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) yang bertujuan untuk mengembleng sumbangan pelbagai pihak dalam merealisasi konsep indahnya hidup beragama dalam kalangan OKU”, katanya lagi.

Majlis turut melancarkan Aplikasi i-Sign Ibadah yang dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Yasmin Hussain, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Aplikasi ini adalah pembangunan bahasa isyarat baharu untuk keperluan pembelajaran ibadah bagi golongan OKU pendengaran. Ia telah dibangunkan pada tahun 2017 dan merupakan hasil daripada kerjasama Geran Sepadan oleh Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) dan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA). Aplikasi ini mengandungi 7 bahagian utama yang merangkumi hukum Syarak, Syahadah, Taharah, Solat, Puasa, Zakat dan Haji.

 Turut hadir Prof. Dato’ Dr. Roshada Hashim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Encik Ahmad Sanusi Abdul Hamid Pengerusi PPDK Nilai, Encik Fisal Johar Pengerusi Insan Istimewa Daerah Jempol dan Dr. Mohd Yusuf Ismail Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan