NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa pendidikan Islam inklusif dan pembangunan komuniti melalui penganjuran Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS) 2026, sebuah program latihan berstruktur yang memberi pendedahan kepada mahasiswa, kakitangan universiti dan komuniti awam mengenai pendekatan dakwah kepada komuniti OKU Pendengaran.
Program ini dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), USIM melalui kelab sukarelawan dakwah OKU, Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF@USIM), dan berlangsung secara berkala pada setiap Rabu bermula 29 April hingga 8 Julai 2026 di Dewan Kuliah Fakulti (DKF) 2.1, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM.
Penganjuran KDTS 2026 berjaya menghimpunkan seramai 180 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa, kakitangan universiti serta komuniti awam yang mempunyai komitmen bersama dalam memperkukuh agenda dakwah inklusif. Penyertaan ini mencerminkan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kepentingan keterangkuman dalam penyampaian ilmu agama, khususnya kepada komuniti OKU Pendengaran.
KDTS pada tahun ini turut menampilkan kelainan apabila mengetengahkan dua orang tenaga pengajar utama dalam kalangan OKU Pendengaran, iaitu Cikgu Nordin Hassan dan Cikgu Ku Habsah Ku Sulong, yang merupakan staf di UMMI. Penglibatan mereka memberi nilai tambah yang signifikan kepada program ini kerana peserta bukan sahaja mempelajari bahasa isyarat secara teknikal, malah turut memahami pengalaman sebenar komuniti Pekak dalam konteks komunikasi, pembelajaran dan penghayatan agama.
Mereka turut dibantu oleh enam orang asatizah yang berbeza setiap minggu mengikut kepakaran masing-masing dalam bidang dakwah OKU. Empat daripadanya merupakan pegawai di UMMI, manakala dua lagi merupakan guru di Madrasah OKU, Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (FAQEH). Program tahunan ini turut memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara UMMI dan Yayasan FAQEH dalam membangunkan modul latihan serta memperkasa sukarelawan SaF@USIM.
Menurut Presiden SaF@USIM, Khairul Amri Mustapakama, penganjuran KDTS bertujuan menarik minat mahasiswa USIM untuk menceburi bidang dakwah kepada komuniti OKU. Katanya, pendekatan ini penting bagi melahirkan lebih ramai sukarelawan muda yang bukan sahaja memahami keperluan komuniti OKU, malah mampu menyampaikan mesej Islam secara lebih berkesan, beradab dan bersesuaian dengan konteks sasaran dakwah.
Program ini memberi penekanan kepada pendekatan komunikasi visual dan penguasaan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sebagai medium penting dalam menyampaikan mesej dakwah kepada komuniti OKU Pendengaran. Melalui latihan ini, peserta turut didedahkan kepada budaya komuniti Pekak di Malaysia serta kaedah khas membaca al-Quran seperti Kod Tangan Quran dan i-SIGN, iaitu glosari istilah Islam berasaskan BIM.
Penasihat SaF@USIM, Dr. Nur Atiqah Abdul Aziz, berkata keunikan KDTS terletak pada kemampuannya meruntuhkan jurang komunikasi dengan menjadikan bahasa isyarat sebagai jambatan dakwah. Menurut beliau, fokus utama program ini bukan sekadar mempelajari bahasa isyarat, tetapi memahami konteks dakwah kepada mad’u melalui proses pemindahan ilmu dan kemahiran yang berkesan.
Penganjuran KDTS 2026 bukan sahaja menjadi medan pembelajaran bahasa isyarat, malah berfungsi sebagai wadah integrasi sosial yang menyuburkan nilai ihsan, empati dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi USIM untuk melahirkan Muslim profesional yang berilmu, berakhlak dan cakna terhadap keperluan masyarakat.
Secara keseluruhannya, KDTS 2026 membuktikan bahawa dakwah inklusif mampu meruntuhkan halangan komunikasi dan membuka ruang penyampaian Islam yang lebih saksama kepada semua lapisan masyarakat. Melalui pendekatan integrasi ilmu, keterangkuman dan khidmat komuniti, USIM terus memperkukuh peranannya sebagai universiti yang komited dalam membangunkan masyarakat madani yang prihatin, penyayang dan berkeupayaan.
Oleh: Nur Hafizatul Fatihah Mohd Jalil

