NILAI, 23 Oktober 2019- Seiring dengan peranan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk memperkukuhkan makna kepada Sains Islam dalam memacu pendidikan yang berteraskan ilmu Naqli dan Aqli, Naib Canselor Prof Dr. Mohamed Ridza Wahiddin menyampaikan syarahan yang bertajuk “Miracle of The Holy Quran As a Book of Signs” memberi beberapa pendedahan mengenai ayat Al-Quran yang berkaitan dengan penemuan terkini dalam sains iaitu dalam bidang optik kuantum.

Tujuan utama syarahan ini adalah bagi memberi motivasi kepada para akademik, pentadbir dan pelajar USIM dari latar belakang yang berlainan untuk maju dan berkongsi kepakaran mereka dengan tujuan mendidik masyarakat umum tentang penemuan kontemporari yang mengesahkan keajaiban Al-Quran sebagai “Book of Signs”.

Beliau menerangkan penemuan terkini dalam bidang optik kuantum dengan memberi beberapa potongan ayat Al-Quran yang memberi pemahaman mengenainya.

Seperti yang dijelaskan dalam surah Yunus ayat 5 hingga 6 bermaksud “Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).

”Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa”.

Secara ringkasnya, Optik kuantum ialah salah satu bidang dalam fizik yang mengkaji penggunaan mekanik kuantum dalam fenomena cahaya dan interaksinya dengan jasad.  Berdasarkan mekanik kuantum, cahaya bukan sahaja dikenali sebagai gelombang elektro-magnet tetapi juga sebagai aliran zarah yang dipanggil foton yang bergerak pada  (kelajuan cahaya semasa di hampagas).

Dalam syarahan beliau, ia menjelaskan bahawa dalam Al-Quran secara berterusan meminta manusia untuk berfikir tentang kejadian alam dan  telah terdapat tanda-tanda penemuan dari segi saintifik, fizikal dan teknologi yang telah dijadikan oleh PenciptaNYA.

Prof Ridza berkata, dalam konteks USIM pula, USIM merupakan sebuah universiti yang unik yang memacu nama Sains Islam dengan membawa visi dan misinya tersendiri.

” USIM komited menjadikan Sains Islam sebagai nadi pendidikan, kerana ia adalah untuk semua iaitu kita menjalankan sesuatu untuk mengenali Allah, mengiktiraf Allah dan operandi pendidikan di USIM dengan seimbangkan perkara dunia dan akhirat iaitu paduan di antara ilmu Naqli dan Aqli bagi memastikan USIM dapat berfungsi secara optimum kepada masyarakat dan membentuk generasi cemerlang dan bernilai mulia bagi mentransformasikan negara dan ummah” tambah Prof Ridza.

Beliau juga sangat menekankan tentang nilai nilai murni yang perlu diterapkan iaitu menghargai masa kerana ia merupakan satu tuntutan dalam Islam. Budaya menghargai masa ini perlu diterapkan dalam jiwa kerana ia salah satu cara kita menghormati dan menghargai masa orang lain selain memberi contoh yang baik dalam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan berhemah.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

 
Lihat foto menarik yang lain pada pautan di bawah :
https://www.facebook.com/pg/USIM.eGallery/photos/?tab=albums&ref=page_internal