NILAI, 21 DIS 2016 — Pertandingan sukan dan peraduan berkonsepkan sukan, permainan, hiburan dan sebagainya mengalami evolusi yang pesat. Pelbagai bentuk pertandingan dan peraduan baharu diperkenalkan yang menawarkan hadiah berbentuk wang tunai, cek, pakej percutian dan sebagainya. Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, ia sentiasa wujud dengan pelbagai modus operandi untuk menarik perhatian masyarakat.

Walau bagaimanapun, kebanyakan penganjuran pertandingan sukan dan peraduan ini kurang mengambil kira aspek piawaian syarak seperti terdapat unsur-unsur perjudian, pertaruhan, eksploitasi, pembaziran, pemakaian atlet tidak patuh syariah, percampuran antara lelaki dan perempuan serta pelbagai isu lain.

Justeru, satu inovasi dihasilkan oleh sekumpulan pensyarah USIM iaitu Modul Penganjuran Pertandingan Sukan dan Peraduan Patuh Syariah. Modul yang dilengkapi dengan modul komprehensif berkaitan penganjuran sukan dan peraduan yang selari dengan kehendak Islam diperkenalkan bagi memberi kesedaran dan panduan yang lengkap umumnya kepada masyarakat dan khususnya kepada pihak yang terlibat secara langsung dalam penganjuran sesuatu pertandingan dan peraduan.

Penghasilan modul ini diketuai oleh Profesor Madya Dr Azman Abdul Rahman bersama-sama ahlinya iaitu Profesor Madya Dr. Irwan Mohd Subri, Dr. Abdul Manan Ismail dan Tuan Zahari Mahad Musa dengan tujuan ia menjadi indikator bagi memastikan setiap pertandingan dan peraduan yang dianjurkan mematuhi prinsip syariah.

Dalam aspek sukan misalnya, terdapat pelbagai bentuk pertandingan yang dianjurkan saban tahun sama ada diperingkat kebangsaan mahupun dunia seperti SUKMA, Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik yang mempertandingkan pelbagai acara seperti bola sepak, badminton, olahraga, renang dan sebagainya. Namun, terdapat beberapa isu yang timbul berkaitan pemakaian atlet, kejurulatihan, tempat dan dan bentuk penganjuran pertandingan bagi peserta muslim.

Menyentuh mengenai penganjuran peraduan, pelbagai bentuk peraduan berasaskan hadiah dan wang tunai dianjurkan di akhbar, sistem pesanan ringkas (SMS), e-mel, laman sesawang mahupun yang secara nyata (jelas) dalam sesuatu majlis atau acara. Penyertaan bagi pertandingan sukan dan peraduan ini melibatkan perlbagai golongan masyarakat dan sentiasa mendapat perhatian dan penyertaan yang meluas.

Modul ini terbahagi kepada empat unit utama iaitu konsep sukan dalam Islam; etika pemakaian sukan menurut syarak; garis panduan pertandingan sukan; dan peraduan berasaskan hadiah mengikut piawaian syarak.

Melalui konsep sukan dalam Islam dan etika pemakaian sukan menurut syarak, modul ini membincangkan sukan dari perspektif al-Quran dan hadis. Ia turut menyentuh mengenai aspek kejurulatihan dalam Islam, kriteria tempat bersukan yang dibenarkan syarak dan penganjuran sukan yang selari dengan syariat Islam. Ia juga menghuraikan mengenai etika berpakaian sukan dan alternatif cara berpakaian sukan yang selari dengan tuntutan Islam khusus bagi atlet muslim.

Definisi penganjuran pertandingan dan peraduan serta hubung kaitnya dengan terminlogi al-qimar, al-maysir, al-rihan dan al-ji’alah turut disentuh dalam modul ini. Ia menekankan terhadap status hukum sesuatu pertandingan dan peraduan serta kategorinya. Kaedah al-iwad (hadiah atau ganjaran) dalam pertandingan dan peraduan serta kedudukan penyertaan al-muhallil iaitu individu atau pasukan yang menyertai pertandingan tanpa sebarang bayaran, tetapi jika dia menang, dia layak menerima hadiah turut difokuskan bagi menentukan hukumnya.

Malahan dalam modul ini turut memberi panduan kepada para peserta dan pihak penganjur tentang elemen-elemen yang perlu dielakkan dalam pertandingan dan peraduan berasaskan hadiah bagi memastikan segala bentuk pertandingan dan peraduan yang dianjurkan menepati syarak.

Modul ini merupakan satu-satunya yang seumpanya terdapat di Malaysia kini dan USIM berbangga menjadi pelopor kepada penghasilannya. Ia mampu mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana modul yang berbentuk modul latihan ini diyakini bersesuaian dengan pasaran masa kini dan boleh dijadikan rujukan di peringkat rendah, menengah, IPTA atau IPTS serta dapat digunakan dalam kursus kejurulatihan di setiap agensi kerajaan mahupun swasta.

Penghasilan Modul Penganjuran Pertandingan Sukan dan Peraduan Patuh Syariah ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan pencapaian Pingat Emas di International Exposition on Shariah Compliant Idea, Invention, Innovation and Design (ISCIIID) 2016 bertempat di Grand Blue Wave Hotel, Shah Alam.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204