Nilai, 15 Disember 2018 – Majlis Penyerahan sumbangan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyaksikan bahawa kerajaan negeri memberi perhatian serius dalam menambahbaik pembangunan masyarakatnya.

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, seramai 129 pelajar baharu Sarjana Muda sesi akademik 2018/2019 yang merupakan anak-anak Negeri Sembilan menerima sejumlah wang sumbangan yang disampaikan sendiri oleh YAB Tuan Haji Aminuddin Harun.

“Sumbangan diharap boleh menampung sedikit sebanyak perbelanjaan pelajar semasa pengajian. Pelajar semua haruslah membina dan mengukuhkan sahsiah jati diri selain menuntut ilmu serta libatkan diri dalam aktiviti luar bagi meningkatkan kemahiran diri dan mendekatkan pelajar dengan masyarakat,” ucapnya.

Pada majlis yang sama, Kerajaan Negeri Sembilan menyumbangkan sejumlah RM250,000.00 untuk pelaksanaan agenda kesukarelawanan USIM bagi tahun hadapan iaitu RM125,000.00 untuk projek Jelajah Sukarelawan, RM75,000.00 untuk Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji (PROCAST) dan RM50,000.00 diperuntukkan untuk projek GISO.

“Diharapkan dengan bantuan kewangan yang disalurkan, dapatlah USIM memastikan agenda tahun 2019 dilaksanakan dengan jayanya yang mana disokong penuh kerajaan negeri bagi pembangunan Negeri Sembilan secara keseluruhannya,” tambahnya lagi.

Sementara itu, YBhg Prof. Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni mengatakan PROCAST dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan akan dilaksana bersama sekolah-sekolah menengah Negeri Sembilan setelah percubaan PROCAST pada November lalu berjaya dilaksanakan.
PROCAST merupakan satu program pembangunan sahsiah dan akademik baru yang tertumpu kepada pelajar sekolah menengah di Negeri Sembilan.

Hadir sama adalah YB Dr Razali Abd Malik, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Lembaga Pengarah Universiti, USIM serta YB Encik Abdul Razak Kamarulzaman, Timb YDP Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Sembilan.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032