JOHOR BAHRU, 7 September 2023- Seramai 19 mahasiswa program Pengajian Qiraat Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program Khidmat Quran dan Sunnah bersama Orang Kelainan Upaya (OKU) di Sekolah Agama Pendidikan Khas (SAPK) (Pendengaran) Johor Bahru baru baru ini.

Pelbagai pengisian yang dijalankan sepanjang program Khidmat Quran dan Sunnah Bersama OKU ini antaranya pembelajaran Al-Quran seperti kaedah Tahfiz Akhyar,Terapi wudhu’, permainan explorace dan banyak lagi. Selain itu, murid juga berpeluang mendapatkan khidmat bantuan daripada mahasiswa USIM untuk memahami kefahaman serta memperbetulkan ibadah-ibadah yang terdapat di dalam silibus pembelajaran yang juga menjadi rutin harian mereka.

Lebih menarik lagi, program Khidmat ini juga sekaligus telah mewujudkan jalinan pintar di antara pihak sekolah dengan USIM. Selain perkongsian ilmu daripada mahasisiwa USIM kepada murid-murid di SAPK Johor, pihak sekolah juga mendedahkan kepada para mahasiswa tentang rutin pembelajaran khas murid-murid di sekolah tersebut.

Menurut Dr. Shah Rizul Izyan Zulkiply, pensyarah bagi subjek Aplikasi Kod Isyarat dalam Pengajaran Quran yang turut mengiringi para peserta bagi menjayakan program ini berkata, matlamat utama program adalah untuk membuka mata dan minda mahasiswa serta pihak berwajib untuk kita sama-sama menyantuni golongan istimewa ini.

“Dengan adanya program sebegini, mereka akan rasa lebih dihargai dan dapat merasakan bahawa kehadiran mereka disedari oleh masyarakat sekeliling”.

Sementara itu, salah seorang peserta  saudari Norafiqah Tajudin berkata, program ini telah memberi banyak input dan pengalaman serta pendedahan baru untuk merasai sendiri cabaran-cabaran dalam usaha menyampaikan maklumat kepada murid-murid berkeperluan khas pendengaran.

“Tanpa kaedah yang sesuai, seseorang itu belum tentu dapat menyampaikan ilmu dengan kefahaman yang diperolehinya kepada orang lain, lebih-lebih lagi kepada komuniti berkeperluan khas”.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan