NILAI, 29 Disember 2017 – Selari dengan penerapan kepada warganya mengenai konsep untuk menjadi sebuah kampus yang barakah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut melihat kepentingannya sebagai sebuah institusi yang cakna, prihatin dan menyantuni insan istimewa iaitu Orang Kelainan Upaya (OKU). Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang mengangkat integrasi ilmu naqli dan aqli untuk di bawa kepada masyarakat, kepakaran dan kemampuan yang dimiliki dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk membantu OKU.

Peneraju diperingkat USIM dalam menggerakkan pelbagai program berkaitan OKU ini digalas oleh Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS). Bermula pada tahun 2006, sekumpulan pensyarahnya mula menerokai pengajian Quran Braille dalam kalangan komuniti bekeperluan khas masalah penglihatan. Hasilnya, Kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah sebagai kursus Wajib Fakulti mula ditawarkan untuk para pelajar FPQS pada 2008. Ia merupakan kursus pertama seumpamanya ditawarkan oleh Universiti Awam.

Dari kursus inilah ia membawa USIM mula mengorak langkah lebih jauh berkaitan OKU melalui penyelidikan dan inovasi; penerbitan; pengajaran dan pembelajaran; khidmat latihan; konsultasi; kesukarelawanan mahasiswa dan khidmat ummah. Pada 2012, FPQS menubuhkan Institut Quran Braille yang menjadi platform untuk menyatukan ahli akademik dari pelbagai bidang bagi mendepani isu OKU dan cabaran semasa.

Melalui kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) pada 2015, inovasi Smart Iqra’ Braille berjaya dihasilkan sebagai kesinambungan kejayaan penerbitan Buku Iqra versi Braille. Beberapa inovasi untuk manfaat OKU dihasilkan oleh penyelidik USIM selepas itu antaranya i-TALK PISKEB dan i-Sign QurANIS yang meraih pelbagai pengiktirafan dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Kehadiran NGO Islam iaitu Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) membuka jalinan baharu kepada mahasiswa USIM untuk aktif menyumbang dalam program kesukarelawan untuk anak-anak istimewa ini sebagai satu bentuk usaha dakwah. Bergerak melalui Sahabat FAQEH USIM, persatuan mahasiswa ini turut menubuhkan kumpulan nasyid tanpa suara (Saf al Isharah) dan Daie Pekak.

USIM turut memberi sokongan kepada penglibatan siswanya dalam berdakwah kepada OKU ini seperti Kursus Dakwah Tanpa Suara; Kursus Kemahiran Daie Pekak; Kem Huffaz Remaja Pekak, Jom Dhuha bersama Anak-anak Istimewa; dan Pameran Quran Sunnah for Special Needs dan beberapa program lain secara bersiri setiap tahun. Pastinya penganjuran Program OKU Berdoa antara yang dinantikan dan merupakan sebuah konsert berskala besar melibatkan pelbagai latar belakang OKU membuat persembahan yang dianjurkan oleh siswa USIM.

Dalam meraikan keperluan OKU ini, ia mendapat kerjasama baik dari pelbagai jabatan di USIM. Pusat Islam USIM contohnya mengambil peranan melakukan inovasi dalam penyampaian khutbah Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz iaitu khutbah bersama terjemahan bahasa isyarat oleh Daie Pekak. Selain itu, inisiatif baharu yang dipelopori adalah penyampaian takbir Hari Raya Tanpa Suara yang mendapat perhatian meluas masyarakat.

Dalam menggerakkan usaha dakwah OKU ini, USIM sentiasa dibantu dan mendapat sokongan pelbagai pihak khususnya NGO. Selain PERTIS dan Yayasan FAQEH, hubungan erat turut sedia terjalin dengan Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) dan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA).

Atas pelbagai usaha dalam meraikan OKU dan dakwah kepada insan istimewa ini, pada baru-baru ini semasa penganjuran Program OKU Berdoa 3.0 di Dewan Tuanku Canselor, USIM telah diberi pengiktirafan khas oleh Yayasan FAQEH sebagai penerima Anugerah Khas Yayasan FAQEH. Anugerah diterima oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, ia diberikan atas pencapaian USIM menjadi universiti pertama yang cakna isu spiritual OKU selain dijadikan bidang kebitaraan di USIM.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204