KELANA JAYA, 21 April – Seramai 45 orang Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dari seluruh Malaysia telah menerima sijil masing-masing setelah berjaya menamatkan Program Pengajian Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH) anjuran bersama Lembaga Tabung Haji (TH) dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Program kali ketiga ini telah diadakan dalam dua sesi iaitu pada 5-7 April 2013 bertempat di TAHA D’Klana, Kelana Jaya dan 19-21 April 2013 di Hotel Quality Shah Alam.

Menurut YBhg. Profesor Dr. Hajah Mustafa bin Mohd. Hanefah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, program ini merupakan usaha sama terbaik yang terjalin di antara USIM dan Lembaga Tabung Haji sejak 2010.

“SPIH telah melahirkan Pembimbing Ibadat Haji di Tanah Suci (PIHTAS) yang berpengetahuan tinggi di bidang pengajian ibadat haji melalui pembelajaran yang sistematik”

”Saya berharap agar semua peserta menghayati semua ilmu, maklumat dan kemahiran yang diperolehi seterusnya mampu membimbing bakal jemaah dengan berkesan.” katanya ketika merasmikan majlis penutup program PEKTA ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan (Haji), TH,  YBhg. Dato’ Syed Saleh bin Syed  mengucapkan syabas kepada para peserta yang telah berjaya menamatkan program SPIH ini dengan jayanya dan bercadang untuk menjadikan Sijil Pembimbing Ibadat Haji ini sebagai pra-syarat untuk pelantikan seseorang sebagai PIHTAS.

Salah seorang peserta, Haji Julniealam Bin Amilusin yang berasal dari Sabah melahirkan setinggi-setinggi penghargaan kepada pihak USIM dan TH atas pengajuran kursus ini yang berjaya mempertingkatkan profesionalisme PEKTA.

“Saya amat berharap agar program ini akan terus diadakan pada masa akan datang bahkan di pertingkatkan lagi pembelajarannya ke tahap Diploma,” katanya lagi.

Program persijilan ini menggunakan modul dan penceramah yang disediakan oleh USIM yang memuatkan pengisian daripada pelbagai aspek yang merangkumi kemahiran pengajaran, komunikasi, kaunseling dan pengurusan yang berkesan serta membincangkan persoalan hukum-hakam dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan manasik haji.

Disediakan oleh:

Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani
Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM

Disunting oleh :
Mohd Zaini Othman, Penolong Pendaftar StraComm