NILAI, 26 Ogos 2019- Seiring dengan hasrat universiti untuk menjadikan wacana ilmu lebih dinamik dan mesra penonton, Pusat Kebudayaan USIM tampil dengan konsep wacana dengan persembahan seni budaya yang dikenali sebagai WAKON iaitu penyampaian diskusi secara santai dengan jemputan panel, IKON yang berwibawa beserta diiringi dengan Kumpulan Band Pusat Kebudayaan USIM.

Berlangsung di Panggung Budaya USIM Khamis lalu, topik yang diketengahkan bertajuk Misi Kemanusiaan: Tanggungjawab Masyarakat atau Perjuangan NGO. Dibarisi oleh Panel yang hebat iaitu Encik Zairulshafudin Zainal Abidin, Ketua Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IRM), Dr. Isa Hassan Presiden III Jamiyah Singapura dan moderator oleh Dr. Hayati Ismail Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm).

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM Encik Ismail Ahmed, WAKON ini telah didaftarkan sebagai Hak Cipta di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).  Sebanyak empat siri akan diadakan dengan membawa tema kemanusiaan, warisan, budaya, sastera dan bahasa. Program ini juga akan diterbitkan dalam Youtube (LeadsTV@USIM) dan penerbitan buku.

”Universiti adalah Institusi pendidikan yang berperanan penting dalam memberi contoh yang terbaik dengan mempersiapkan para pelajarnya bukan sahaja dengan ilmu pengetahuan, malah dididik dengan peribadi dan akhlak mulia yang dapat berkhidmat dan memberi kebahagiaan kepada masyarakat”.

”Pendedahan ini perlu bersepadu dan konsisten bagi menimbulkan rasa keperihatinan agar ia dapat membentuk nilai-nilai murni yang akhirnya menjadikan mereka insan yang dapat berfungsi kepada masyarakat”, jelas Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Bagi Encik Zairulshafudin, NGO dan pasukan sukarelawan dari merata dunia ini adalah jambatan bagi menyalurkan bantuan, bukan sahaja dari segi materialistik tetapi golongan ini bertindak sebagai pengantara untuk memberi semangat dan sokongan untuk teruskan kehidupan.

Tambah beliau lagi, selebriti dan artis yang turut serta adalah bagi menceriakan suasana untuk melupakan kesedihan agar bangkit meneruskan kehidupan, dan dapat berkongsi rasa kepada masyarakat di luar sana lebih-lebih kepada para peminat mereka. Ini dapat menyuntik rasa belas kasihan dan keperihatinan sesama umat seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan keturunan”.

Aktivis dan selebriti Irma Hasmi turut berkongsi pengalaman beliau yang pernah menyertai beberapa misi kemanusiaan di Syria dan Palestin. Apa yang dikongsikan, beliau telah ’jatuh cinta’ ketika mengacarakan pogram Assalamualaikum di TV Alhijrah yang berjumpa  dan berdiskusi tentang misi kemanusiaan ini.

” Platform media sosial seperti instagram dan facebook saya manfaatkan untuk berkongsi benda baik untuk menjadi ikutan kepada peminat saya supaya dapat memberi inspirasi kepada mereka berbuat kebaikan”.

Program kali ini turut dihadiri oleh Tan Sri Dato Sri (Dr) Hamad Kama Piah Che’ Othman, Penaung Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI), Pengarah Bahagian Komuniti dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Puan Nor Tipah Majin, dan Encik Nmanzee Harris Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah. Turut hadir sama Karyawan Seni USIM Dato’ Nash, Syed Indera Sed Omar dan Sharifah Khasif.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan