NILAI, 13 Ogos 2018 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 7 pihak industri dalam usaha menyokong penyertaan sekumpulan pelajar USIM melalui Projek Mizanhome yang akan mewakili Malaysia dan Asia Tenggara dalam pertandingan Solar Decathlon Middle East 2018 (SDME 2018) di Dubai yang bakal berlangsung pada bulan November tahun ini.

”Kerjasama daripada pihak industri dalam segala aspek bagi merealisasikan impian USIM untuk menjayakan Projek Mizanhome dalam pertandingan SDME 2018 mampu membuka minda dan peluang para pelajar untuk terlibat secara terus dengan pihak industri dan memperoleh pengalaman yang berharga pada masa akan datang,” ucap YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM.

Tambahnya, program ini juga dilihat dapat membuahkan satu hubungan yang baik antara pihak USIM dengan pihak industri yang terlibat dalam usaha meningkatkan kualiti penyelidikan dan pembelajaran di USIM.

Kesemua syarikat terlibat dalam memberi sumbangan dan tajaan berupa bahan-bahan pembinaan dan juga dana kewangan. Syarikat tersebut Pengarah Jualan Nautical Sanitaryware Sdn Bhd yang diwakili oleh En Mohd Shahrul Anuar Ishak; Bendahari Kelab Pembangunan Profesionalisme Arkitek Kuala Lumpur & Selangor (Be:Ar), Ar. Mohd Azli bin Mohamad Jamil; Pengarah Jualan Rockwool Malaysia Sdn Bhd, Mr Ron Pickering; Pengarah Urusan Bidai Solutions Sdn Bhd, Pn Rafidah Baharin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Johawaki Sdn Bhd, En Mohamad Akmal Dato’ Johari; dan Pengarah Teknikal Zog Engineering Sdn Bhd, Mr. Calvin Chay Joon Ying.

Satu-satunya syarikat dari Thailand turut memberi tajaan iaitu Beger Paint Co., Ltd yang diwakili oleh wakil pengedar produk iaitu Mr. Micheal Tan, Ketua Pegawai Eksekutif PP Chin Hin Sdn Bhd.

SDME 2018 adalah kejayaan USIM melalui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terdiri daripada 35 orang pelajar USIM daripada latar belakang seni bina dan kejuruteraan termasuk 20 orang pelajar kejuruteraan daripada UTM.

USIM menempatkan diri bersama-sama 20 universiti lain dari seluruh dunia yang diumumkan secara rasmi keputusannya oleh penganjur utama, Dubai Electricity and Water Authority (DEWA) di Dubai Convention and Exhibition Centre. Segala perkembangan terkini Projek Mizanhome boleh diikuti melalui media sosial, Instagram, Facebook dan Twitter serta website rasmi Mizanhome.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan