NILAI, 16 September 2017 – Seramai 219 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah menerima khabar gembira apabila berjaya menerima tawaran dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda melalui saluran kemasukan khas.

Kumpulan pelajar ini akan mendaftar masuk ke USIM pada Isnin, 18 September 2017 dalam pelbagai bidang pengajian bersempena Pendaftaran Pelajar Rayuan Sarjana Muda USIM bertempat Dewan Tuanku Canselor.

Saluran kemasukan khas ini ditawarkan oleh USIM hanya kepada pelajar yang datangnya dari keluarga berpendapatan rendah iaitu RM 3000 sebulan ke bawah dan miskin dikenali sebagai Bottom 40% (B40) sahaja. Para pelajar yang memohon melalui saluran B40 USIM ini telah membuat permohonan menyambung pengajian ke USIM secara terus melalui Bahagian Pengurusan Akademik USIM sebelum ini.

Selain para pemohon perlu menepati kriteria pendapatan isi rumah yang dinyatakan, mereka juga wajib memenuhi syarat am dan syarat khas yang ditetapkan oleh Universiti untuk dipertimbangkan. Pada tahun ini, sebanyak 618 permohonan diterima oleh USIM berbanding 315 pada tahun 2016. Selain itu, pada tahun lalu, pemohon B40 yang berjaya ditawarkan adalah 128 orang sahaja.

USIM amat menyambut baik dan menyokong program kemasukan laluan khas B40 yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk dilaksanakan oleh setiap Universiti Awam ini. Ini kerana ia menjadi ‘jambatan’ dan peluang istimewa kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian.

Secara tidak langsung, saluran ini merupakan medium pemudah cara bagi pelajar sekolah agama yang cemerlang akademik dan datangnya dari keluarga susah untuk melanjutkan pelajaran ke USIM kerana mereka hanya perlu memohon secara terus menerusi borang khas yang disediakan di universiti dan tidak perlu melalui sistem Unit Pengambilan Pelajar KPT seperti kebiasaannya.

Pada sesi pendaftaran Sarjana Muda USIM sesi akademik 2016/2017 pada awal September lalu seramai 2192 telah mendaftar secara rasmi dengan jangkaan 276 orang pelajar rayuan akan mendaftar lagi pada Isnin ini.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204