NILAI, 26 Mei 2014 –  Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terima sejumlah 902 pelajar sesi akademik 2014/2015 yang berlangsung sesi pendaftaran di Stadium Tertutup Nilai pada ahad lepas.

USIM telah menerima sejumlah 2702 permohonan pilihan pertama daripada 25,875 jumlah permohonan untuk mengikuti pengajian dalam 5 program iaitu Tamhidi Perubatan,Pergigian, Sains dan Teknologi, Perakauanan dan Muamalat, Syariah dan Undang-Undang. Walaubagaimanapun, USIM hanya diberikan kuota untuk menawarkan kepada sejumlah 1171 pemohon sahaja.

Daripada jumlah tersebut, 289 pelajar lelaki dan 613 pelajar perempuan  telah mendaftar sebagai pelajar baharu Tamhidi selama tempoh satu tahun seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda USIM.

Program tamhidi Sains dan Teknologi mencatatkan pendaftaran yang tertinggi iaitu sebanyak 346 pelajar, diikuti tamhidi perakauanan dan muamalat 214, tamhidi syariah dan undang-undang 133, tamhidi perubatan 127, dan tamhidi pergigian 78.

Manakala pecahan pelajar mengikut negeri kelahiran pula seramai 325 pelajar adalah dari Pantai Timur, Pahang, Kelantan dan Terengganu, 252 pelajar adalah dari Selangor,Melaka dan Negeri Sembilan, manakala bahagian Utara Perlis, Kedah, Pulau Pinang seramai 141 pelajar. Selebihnya adalah dari wilayah persekutuan Kuala Lumpur 27 pelajar, wilayah persekutuan Putrajaya 3 pelajar, wilayah persekutuan Labuan 2 pelajar, Sabah 11 dan Sarawak seorang.

Pengarah Pusat Tamhidi, Dr. Nurlida Basir berkata,  paduan di antara ilmu Naqli dan Aqli yang diperkenalkan oleh USIM ini bukan sahaja berupaya melahirkan insan yang berilmu dan berkemahiran bahkan satu usaha untuk mentransformasikan generasi yang berkualiti serta mempunyai jati diri dan kekuatan kerohanian yang kukuh. “Menjadi  harapan saya agar pelajar semua menggunakan peluang pendidikan dan kemudahan ilmu yang ada di sini sepenuhnya dan dimanfaatkan ke arah kebaikan. Para pelajar haruslah bersedia dari sekarang dan tanamkan azam untuk mengejar sebanyak mungkin ilmu sepanjang berada di USIM dengan tidak menghadkan penguasaan ilmu di dalam kelas semata-mata, jelasnya semasa sesi perjumpaan bersama pelajar tamhidi baru-baru ini“.

Booth pemeriksaan kesihatan yang dibuka oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan turut dibanjiri oleh ibu bapa pelajar untuk pemeriksaan kesihatan sementara menunggu anak mereka selesai menguruskan pendaftaran kemasukan.

Muhammad Hadi bin Darus, 18, anak kedua dari lima beradik. Merupakan pelajar cemerlang SPM (11A) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah. Beliau menyambung pengajian program Tamhidi Syariah dan Undang-Undang, dan bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik. Walaupun secara zahirnya Hadi adalah pelajar kelainan upaya, tetapi usaha dan semangat yang kental, tidak lupakan Allah dan dorongan sokongan makayah menjadikan beliau sangat berdikari dalam meneruskan kehidupan sehingga menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat kebangsaan pada tahun 2012 dan dinobatkan sebagai pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dengan keputusan 11A dalam kategori Calon Berkeperluan Khas (CBK).

Siti Nur Alia Bashirah Bt Shikh Badruddin, 18, pelajar MRSM Kota Putra, Besut Terengganu adalah pelajar cemerlang dalam SPM dengan memperolehi 11A. Mengambil program Tamhidi Perubatan dan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor yang turut pakar dalam pengajian Islam. Memilih USIM kerana penawaran pengajian program yang berasaskan pengajian Islam iaitu pengetahuan dalam ilmu Naqli (Wahyu) dan Aqli (Rasional).

Tengku Amirul Hakim bin Tengku Shahrizanny, 18, pelajar dari Sekolah Maahad Muhammadi Kota Bharu, Kelantan. Mengambil program tamhidi Sains dan Teknologi. Meneruskan pengajian di USIM kerana beliau bercita-cita untuk menjadi saintis Islam yang turut berpegang kepada Quran dan Sunnah.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Penolong Pegawai Media StraComm