KUALA LUMPUR, 27 Februari 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendapat pengiktirafan Outstanding Industry Collaboration Award (IOIC) daripada Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM) atas kerjasama erat dalam bidang kewangan Islam.
Anugerah disampaikan oleh YBhg Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bersempena 4th IBFIM Certification Conferment Ceremony di Dewan Tun Abdul Razak, Bank Rakyat Convention Centre Kuala Lumpur pada 25 Februari 2023 baru-baru ini.
Ia sebagai simbolik kerjasama antara USIM yang diterajui oleh Fakulti Ekonomi dan Muamalat dan IBFIM, yang telah menandatangani Memorandum Perjanjian dalam bidang kewangan Islam pada tahun 2020 di mana kerjasama ini memfokuskan kepada penawaran program Certified Profesional Shariah Auditor (CPSA).
Menurut Prof Dato Dr Sharifudin Md Shaarani Naib Canselor USIM, program CPSA ini merupakan kajian berkenaan audit shariah yang dilaksanakan oleh sebuah pasukan kajian di bawah Kluster Accounting, Auditing and Governance in Islamic Institutions (AAGII) yang di selia dibawah Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM sejak tahun 2009 lagi.
“Melihatkan kepada potensi bidang audit shariah, AAG11 yang diketuai oleh Prof Dato Dr Mustafa Mohd Hanefah telah mengorak langkah dengan memperkenalkan silibus pengajian audit shariah bagi program-program prasiswazah di bawah FEM bermula 2010. Ini disusuli oleh penerbitan buku ilmiah pertama berkenaan audit shariah terbitan USIM yang diberi nama Governance & Shariah Audit in Islamic Financial Institutions pada tahun 2012”.
Prof Dato Dr Sharifudin Md Shaarani menambah lagi, atas kerjasama yang terjalin ini, pihak USIM berbesar hati menganugerahkan Anugerah Khas Rakan Industri bersempena Majlis Konvokesyen Ke-20 USIM pada Disember 2022 kepada IBFIM. Beliau berharap agar kolaborasi kedua belah pihak ini akan melahirkan generasi yang pakar dalam industri kewangan Islam di Malaysia terutamanya yang berkaitan audit shariah.
Turut hadir Prof Madya Dr Khairil Faizal Khairi , Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat serta Prof Dr Zurina Shafie dan Dr Iqmal Hisham Kamarudin ke majlis tersebut.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan